IPOH – Perak menerusi Jabatan Perhutanan Negeri (JPNPk) telah menyediakan Pelan Pengurusan Hutan Simpan Kuala Gula bagi tempoh 2026 sehingga 2030.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Teh Kok Lim berkata, pelan itu bertujuan mengukuhkan pengurusan hutan di Hutan Simpan Bakau Kuala Gula.
“Dua Hutan Simpanan Kekal (HSK) baharu turut diwartakan seluas 887.24 hektar melibatkan Hutan Simpan Ulu Slim di Daerah Hutan Perak Selatan seluas 846.36 hektar dan Hutan Simpan Bakau Kuala Gula seluas 40.88 hektar di Daerah Hutan Larut dan Matang sehingga November ini.
“Pewartaan ini telah menjadikan keluasan keseluruhan HSK Perak seluas 988,412.84 hektar,“ katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Teh berkata, berdasarkan peruntukan yang diterima pada tahun 2025, JPNPk telah menyelaraskan aktiviti penanaman pokok bagi meningkatkan kualiti kawasan berhutan yang miskin.
“Selain itu, JPNPk bersama pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institut pengajian tinggi (IPT) serta masyarakat setempat komited dalam melaksanakan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.
“Usaha tersebut bertujuan meningkatkan kawasan berhutan di Perak dan sehingga November lalu sebanyak 11.27 juta pokok telah berjaya ditanam di seluruh negeri ini.
“Pencapaian ini telah melebihi sasaran tanaman iaitu sebanyak 10 juta pokok sehingga tahun 2025,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


