PERAK terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pengeluar utama hasil agromakanan negara, merangkumi sektor pertanian, akuakultur, dan penternakan.
Mempunyai keluasan tanah yang subur dan sumber air yang mencukupi, negeri ini mampu memastikan bekalan makanan domestik yang stabil serta berpotensi untuk dieksport ke pasaran luar.
Komitmen ini diterjemahkan melalui pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) dan Pelan Perak Sejahtera 2030, yang menekankan aspek keterjaminan makanan dan pembangunan mampan.
Justeru, kerajaan negeri terus memperkukuh sektor pertanian menerusi Projek Hab Agromakanan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), yang menggabungkan elemen teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan kerjasama pelbagai agensi termasuk sektor swasta.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kolaborasi ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha mentransformasikan sektor pertanian sebagai pemacu ekonomi baharu negeri.
Menurutnya, projek tersebut dijangka meningkatkan pendapatan peserta antara 20 hingga 25 peratus melalui sistem harga yang lebih stabil, jaminan akses pasaran dan pengurangan kos input.
Selain itu, beliau memaklumkan hasil pertanian juga dijangka mengalami pengurangan kerugian pasca-tuai sehingga 50 peratus menerusi pengenalan sistem logistik bersepadu serta pusat pemprosesan moden.
“Inisiatif ini turut membuka ruang bagi pembangunan sektor bioekonomi dengan memanfaatkan sisa pertanian secara lestari.
“Ini sejajar dengan pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), yang menekankan aspek sekuriti makanan dan pendigitalan sektor pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Kolaborasi Strategik bagi Kemajuan Projek Hab Agromakanan NCER di Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini.
Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, berdasarkan statistik semasa, sektor pertanian menyumbang sekitar 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melibatkan hampir 16 peratus tenaga kerja negara.
“Bagaimanapun, sektor ini masih dibelenggu pelbagai cabaran seperti harga tidak kompetitif, kebergantungan kepada orang tengah serta struktur rantaian pengeluaran yang tidak efisien.
“Bagi menangani isu tersebut, NCER memperkenalkan pendekatan Sistem Rantaian Tertutup (Closed-loop) yang melibatkan pembangunan Pusat Pengumpulan Daerah (DCC) dan Pusat Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) secara strategik bagi memastikan kualiti hasil tani terpelihara sehingga ke pengguna akhir,” ujarnya.
Ujar beliau, kerajaan negeri turut memainkan peranan dengan mengenal pasti tanah sesuai bagi tujuan pertanian moden melibatkan tanaman bernilai tinggi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.
“Langkah ini penting memandangkan Malaysia masih bergantung kepada import makanan bernilai RM6.3 bilion bagi sayur-sayuran sahaja pada tahun 2023.
“Projek ini juga membuka peluang eksport ke pasaran serantau seperti Singapura dan Thailand, yang masing-masing mengimport produk pertanian bernilai tinggi.
“Singapura, misalnya, mengimport sayur dari Malaysia bernilai USD454 juta pada tahun lalu.
“Selain impak ekonomi, projek ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam bidang agroteknologi, logistik dan pemprosesan makanan.
“Statistik menunjukkan permintaan terhadap tenaga kerja mahir dalam sektor ini meningkat 4.6 peratus antara tahun 2015 hingga 2021,” jelasnya.
Sehubungan itu, Saarani berkata, kerajaan negeri menggalakkan penglibatan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kerjasama dengan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Tambahnya, Akademi Sekuriti Makanan yang sedang dibangunkan di USAS juga bakal menjadi platform latihan utama bagi sektor ini.
“Kerajaan negeri menzahirkan komitmen jangka panjang untuk memperkukuh sekuriti makanan melalui pertanian pintar dan berteknologi tinggi
Artikel Berkaitan:
SKM sentiasa galak koperasi ceburi agro pelancongan dan pertanian