Perak perluas tanaman bawang di Lambor

SUNGAI SIPUT – Kerajaan Perak akan memperluaskan tanaman bawang di lokasi baharu melibatkan kawasan seluas 40 hektar di Lambor dekat Bota.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, ia susulan kejayaan projek perintis tanaman bawang seluas satu hektar di Kampung Ladang Bikam, Sungkai sebelum ini.

Menurut beliau perkembangan positif ditunjukkan projek terbabit yang memberi hasil pengeluaran 2.3 tan pada tuaian pertama, 3 April lalu berjaya menarik minat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) untuk bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Tanah itu memang milik SADC dan secara dasarnya telah dipersetujui bagi tujuan penanaman bawang dengan kerjasama MARDI

“Pelaksanaanya dirancang pada tahun ini juga dengan menggunakan jenis benih sama iaitu varieti bawang merah BAW-1 dan BAW-2,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Konvensyen Sungai Siput, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri gembira dan menyambut baik galakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperluaskan tanaman bawang memandangkan Perak mempunyai banyak potensi lokasi startegik.

“Banyak lagi kawasan lain yang kita sedang kaji kesesuaian kerana untuk tanaman bawang ini memerlukan tanah yang berpasir,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu berkata, selain tujuan pasaran, tanaman bagi penghasilan benih juga dicadang dilaksanakan supaya dapat dibekalkan kepada pengusaha, komuniti dan petani menerusi projek-projek tanaman di bawah kerajaan negeri.

“Ini pelan jangka masa panjang kita untuk menggalakkan lebih ramai komuniti terlibat dalam tanaman bawang.

“Malah Menteri Besar sendiri (Datuk Seri Saarani Mohamad) ada cadangan untuk memperkenalkan hasil pengeluaran negeri ini sebagai bawang Perak,” katanya.

Projek perintis di Ladang Bikam telah dilaksanakan secara tiga fasa dengan sasaran pengeluaran hasil kira-kira empat tan metrik.

Tuaian pertama menggunakan varieti bawang merah BAW-1 melibatkan kawasan fasa 1 seluas 0.6 hektar dan dijangka potensi hasil lebih besar menerusi tanaman fasa 2 dan 3 yang menggunakan varieti bawang merah BAW-2. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI