Perak pertama perkenal Diploma TVET Pengurusan Mutawwif dan Ziarah untuk pelajar tahfiz

IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperkenalkan Program Diploma Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pengurusan Mutawwif dan Ziarah sebagai pilihan alternatif kepada anak-anak tahfiz.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program itu bukan sahaja membolehkan mereka dikenali sebagai penghafaz al-Quran, tetapi turut melengkapkan golongan berkenaan dengan kemahiran yang relevan, bernilai tambah dan berdaya saing, agar bersedia menghadapi cabaran kehidupan dan kerjaya masa depan.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui agenda Koridor TVET Malaysia memberi fokus untuk menjadikan TVET bukan hanya latihan kemahiran teknikal, tetapi satu inisiatif bersepadu untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, berdisiplin dan mampu mengisi keperluan industri.

“Selaras dengan itu, Program Diploma TVET Pengurusan Mutawwif dan Ziarah diwujudkan untuk memartabatkan industri pelancongan Islamik. Ia menyediakan tenaga mahir dengan perkhidmatan berkualiti, pengurusan jemaah umrah dan ziarah yang lebih efisien, memenuhi syariat serta mesra dan profesional.

“Program diploma ini menjadi permulaan integrasi baharu. Kita mahu anak-anak huffaz bukan sahaja menghafaz kalamullah, tetapi juga diperlengkapkan dengan kemahiran moden, khususnya dalam bidang pelancongan Islamik yang sedang berkembang pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Program Empower Tahfiz: Inisiatif Khas Pemerkasaan Anak-Anak Tahfiz Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.

Tambahnya, pelajar yang terpilih akan dididik bukan sahaja dalam aspek fiqh manasik dan sejarah Tanah Suci, malah juga dalam kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan perjalanan, teknologi serta keusahawanan.

“Dengan itu, mereka benar-benar bersedia menjadi pembimbing ummah yang lengkap – menjaga ibadah, mengurus logistik, menenangkan hati jemaah, serta membawa imej negara dengan penuh maruah.

“Melalui Empower Tahfiz, terbuka peluang baharu yang luas. Graduan diploma ini boleh menjadi mutawwif profesional di Mekah dan Madinah, pengurus agensi pelancongan Islamik, konsultan ibadah umrah dan ziarah, tenaga pengajar atau penceramah dalam bidang ini, malah usahawan yang mencipta produk dan pakej pelancongan sendiri.” katanya.

Saarani turut mengumumkan Kerajaan Negeri melalui Yayasan Perak telah menyediakan tajaan pendahuluan yuran sebanyak RM2,500 bagi setiap pelajar, dengan sasaran awal 100 penyertaan.

Katanya, ia jelas membuktikan bahawa kerajaan negeri serius mahu melihat lebih ramai anak-anak tahfiz mendapat akses kepada pendidikan yang meluas dan kerjaya berkualiti. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI