KAMPAR – Kerajaan Perak melalui Jawatankuasa Pengurusan Sisa Pepejal sentiasa komited dalam meneroka teknologi baharu yang mampu meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal di seluruh negeri.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, antara inisiatif terbaharu yang sedang dilaksanakan ialah pembangunan teknologi sisa pepejal kepada tenaga (WTE) yang kini berada dalam fasa pembinaan di bawah Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan dijangka mula beroperasi menjelang hujung tahun ini.
“Projek ini tidak menggunakan incinerator (sistem pembakaran) sebaliknya teknologi berasaskan proses anaerobik yang menukarkan sisa pepejal kepada gas metana.
“Gas ini kemudiannya boleh digunakan untuk menjana tenaga (elektrik) sambil mengurangkan jumlah sisa yang perlu dihantar ke tapak pelupusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Tapak Pelupusan Sampah Majlis Daerah Kampar (MDKpr) di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing dan Yang Dipertua MDKpr, Ahmad Suqairy Alias.
Dalam pada itu, Sandrea berkata, projek itu bakal menjadi penanda aras sebelum diperluaskan ke pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain namun perlu mengambil kira beberapa faktor penting.
“Contohnya, Manjung sebagai kawasan perbandaran menghasilkan kira-kira 300 tan sisa pepejal sehari, manakala Kampar hanya sekitar 60 tan.
“Perbezaan ini memberi kesan kepada kelayakan pelaksanaan sistem WTE kerana ia memerlukan jumlah sisa yang mencukupi untuk beroperasi secara optimum,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan mempertimbangkan pendekatan untuk mengklusterkan beberapa PBT kecil bagi memenuhi syarat minimum pelaksanaan sistem tersebut.
“Dalam masa sama, kerajaan negeri juga memilih kaedah pembiayaan Build Operate Transfer (BOT) dalam pelaksanaan projek di Manjung bagi mengurangkan beban kewangan PBT pada peringkat awal pelaksanaan,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: