Perak peruntuk RM11.31 juta promosi Pelancongan Mesra Usia sempena TMM2026

IPOH – Kerajaan negeri Perak bercadang untuk menumpukan kepada beberapa skop utama pembangunan infrastruktur termasuk menjadikan Negeri Perak sebagai destinasi Pelancongan Mesra Usia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah ini selari dengan saranan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya kerajaan negeri memacu industri pelancongan selain menonjolkan ekopelancongan dan pelancongan sejarah secara menyeluruh.

Justeru, beliau memaklumkan sebanyak RM11.31 juta diperuntukan bagi melaksanakan pelbagai program dan projek pembangunan pelancongan dan kebudayaan untuk tujuan tersebut.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6 juta diperuntukan kepada Tourism Perak bagi meneruskan program promosi dan acara serta memperkenalkan produk pelancongan, perkhidmatan, kepelbagaian budaya serta penerokaan pasaran baharu.

“Antara program dan projek pembangunan termasuklah menaik taraf utiliti tapak eko pelancongan taman negeri, Taman Alam Kinta (RM1.22 juta); operasi Unit Pulau Bebas Cukai di bawah Majlis Perbandaran Manjung (RM700,000); program pelancongan dan kebudayaan (RM1.2 juta) dan RM500,000 diperuntukkan kepada Majlis Kebudayaan Negeri.

“Selain itu, RM1.29 juta turut diberikan kepada Lembaga Muzium Perak merangkumi RM940,000  bagi tujuan pembaikan kuarters dan pagar Muzium DiRaja Kuala Kangsar; RM300,000 bagi penyelengaraan Makam-Makam DiRaja dan RM50,000 bagi kerja-kerja pendawaian rangkaian bangunan Pejabat Galeri Sultan Azlan Shah.

“Turut disediakan belanja bagi Maksud Mengurus kepada Lembaga Muzium Perak sebanyak RM5.3 juta; dan RM400,000 bagi Program Rimba Raid kepada Majlis Daerah Lenggong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Perak 2025 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri menerusi pembabitan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut memperkenalkan projek baharu sebagai persiapan menyambut kedatangan lebih ramai pelancong.

“Projek-projek baharu itu meliputi pembangunan kemudahan pelancongan bagi keperluan ‘Age Friendly City’ (RM2 juta); projek menaik taraf ikon-ikon pelancongan dan projek pembangunan infrastruktur luar bandar di kawasan tumpuan pelancong, melibatkan RM1 juta bagi setiap projek,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tahun Melawat Perak 2024 lepasi sasaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI