IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan kira-kira RM20 juta bagi pengurusan lima Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) setiap tahun.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu membabitkan bayaran emolumen guru, program latihan, makanan pelajar dan penyelenggaraan.
Beliau berkata, lima SMTDR berkenaan adalah di Pulau Pangkor di daerah Manjung, Semanggol (Kerian), Lenggong (Hulu Perak), Sungai Lesung (Batang Padang) serta Ipoh (Kinta).
“Belanjawan Negeri Perak 2025 memperuntukkan hampir RM112 juta kepada JAIPk (Jabatan Agama Islam Perak) meliputi pengurusan institusi Islam, sekolah-sekolah agama, serta penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur masjid, surau dan sekolah.
“Tambahan RM15 juta disalurkan untuk membaik pulih dan membina masjid serta surau baharu, dan RM5 juta pula bagi pemerkasaan institusi pendidikan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penutupan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) Peringkat Kebangsaan kali ke-11 Tahun 2025 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di Ulu Kinta hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah JAIPk Harith Fadzilah Abdul Halim.
MIISMAM ialah program tahunan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama pihak berkuasa agama negeri yang bertujuan mencungkil dan menggilap bakat murid-murid melalui pelbagai acara yang dipertandingkan.
Acara berkenaan antaranya termasuklah tilawah al-Quran, hafazan al-Quran, syarahan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, khat, nasyid dan kalam jamai’e.
Selangor menjadi juara keseluruhan MIISMAM pada tahun ini. -BERNAMA