IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyediakan peruntukan sebanyak RM32.1 juta untuk melaksanakan empat program kesejahteraan yang sangat akrab dengan kehidupan rakyat marhaen.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, empat program tersebut adalah Kad Perak Sejahtera, Jualan Sejahtera Rakyat, Bantuan Kotak Makanan dan Jualan Sejahtera Rakyat.
Menurutnya, sebanyak RM24.5 juta diperuntukan bagi Kad Perak Sejahtera iaitu kenaikan RM500,000 dengan jumlah penerima meningkat kepada 21,000 daripada 19,758 pada tahun 2025.
“RM1.2 juta disalurkan bagi Kedai Bergerak Negeri Perak yang akan dijenamakan sebagai Jualan Sejahtera Rakyat meningkat sebanyak RM400,000 berbanding tahun lalu manakala RM6 juta bagi Program Bantuan Kotak Makanan dengan kenaikan sebanyak RM1 juta.
“Sebanyak RM400,000 pula diperuntukan bagi Jualan Sejahtera Rahmah,” katanya pada Pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Beliau berkata, pelaksanaan empat program ini menzahirkan komitmen teguh kerajaan negeri untuk terus berada di sisi rakyat yang sedang berdepan himpitan hidup.
“Ini khususnya keluarga B40 yang setiap hari berjuang memastikan dapur tidak terpadam dan keperluan asas anak-anak sentiasa terjaga,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan Perak 2025: Hampir separuh disalur untuk kesejahteraan rakyat


