IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukan RM397,000 Dana Kreatif Perak@Port (DKP) meliputi tiga kategori iaitu Seni Visual, Seni Muzik dan Seni Persembahan bagi tahun 2025.
People Of Remarkable Talent (P.O.R.T.) dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah berkenaan sebanyak RM178,000 diperuntukkan bagi kategori seni muzik diikuti RM160,000 (seni visual) dan RM59,000 (seni persembahan).
“Antara projek dan program yang akan direalisasikan tahun ini termasuk rakaman album; pameran seni visual; bengkel seni dan filem; produksi filem pendek; dokumentari; video muzik; penerbitan komik; serta pelbagai inisiatif seni lain yang dijalankan melangkaui Bandaraya Ipoh.
“Lokasi program adalah seperti Kuala Kangsar, Taiping, Tanjung Malim, Grik dan Parit Buntar,” katanya.
Terdahulu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani hadir ke Majlis Penyerahan Dana Kreatif Perak@Port (DKP) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.
P.O.R.T. berkata, sebanyak 245 permohonan diterima melibatkan Dana Kreatif Perak@Port (DKP) 2024/2025 dan daripada jumlah berkenaan sebanyak 115 kertas kerja telah diluluskan.
“Setiap kertas kerja telah melalui proses saringan dan penilaian yang teliti oleh Panel Penasihat
DKP yang dilantik khas, terdiri daripada Kurator Balai Seni Negara, Intan Rafiza Abu Bakar (Seni Visual); Sutradara Filem, Al Jafree Md Yusop (Seni Filem); dan personaliti industri muzik, Jedidiah Wong Jhin Yee (Seni Muzik),” katanya.
Untuk rekod, DKP yang diperkenalkan pada 2019 merupakan skim bantuan seni yang lebih tersusun, dengan keutamaan diberikan kepada pengkarya serta usahawan dalam industri kreatif yang berasal dari Perak atau telah menetap di negeri ini sekurang-kurangnya lima tahun.
Bantuan ini terbuka kepada individu berumur antara 18 hingga 50 tahun yang menghasilkan karya atau menjalankan projek berkaitan seni kreatif.
Matlamat utama DKP adalah untuk menyokong perkembangan dan kelangsungan praktis seni bagi para penggiat seni visual, muzik, serta seni persembahan moden dan kontemporari.
Selain itu, bantuan ini diharapkan dapat memperkasa penciptaan seni kreatif dalam kalangan bakat tempatan, sekaligus mengangkat nama negeri Perak ke peringkat nasional, serantau, mahupun antarabangsa. -MGPerak