GOPENG – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan RM400,000 bagi pembangunan infrastruktur termasuk kepada rumah jagaan dan asrama anak yatim di seluruh negeri.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, ia merupakan langkah kerajaan negeri dalam memastikan golongan anak yatim terus terbela.
Katanya, walau bagaimanapun penyaluran peruntukan berkenaan akan memberi tumpuan kepada pemohon yang benar-benar memerlukan seperti situasi infrasrtuktur daif.
“Selain turun padang melihat sendiri keperluan mereka, kita juga meluluskan permohonan yang dibuat terutama berkaitan pembangunan infrastruktur, termasuk kepada anak-anak yatim.
“Usaha ini bagi memastikan golongan itu dapat tinggal dalam keadaan selesa dan terjaga demi perkembangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Semarak Kasih Muharam sempena Hari Anak Yatim 2024 di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim/Miskin Dahikmah, dekat sini, pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Nor Tipah Majin serta Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM), Profesor Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor.
Program yang berlangsung selama dua hari itu antara lain bertujuan mahu memupuk rasa sayang di samping mewujudkan hubungan baik antara masyarakat dengan anak-anak yatim.
Dalam perkembangan berasingan, Salbiah menasihatkan kepada ibu bapa untuk memberi penumpuan atau pemantauan penuh kepada anak masing-masing susulan kekerapan kes jenayah melibatkan remaja sejak akhir-akhir ini.
Ujar beliau, ibu bapa harus memastikan keselamatan anak mereka berada pada tahap terbaik tanpa mengira sama ada anak lelaki mahupun perempuan.
Malah Salbiah berkata, anak-anak juga harus memainkan peranan dalam memastikan diri sentiasa berwasapa dalam apa juga keadaan, walaupun bersama dengan orang yang dikenali.
“Kita hendaklah sentiasa berwaspada dengan sesiapa yang mendekati kita, termasuk dalam kalangan kawan-kawan, apatah lagi dengan orang yang tak dikenali.
“Oleh sebab itu, dalam siri-siri advokasi yang dijalankan kerajaan negeri kita sering menasihatkan kepada ibu bapa dan anak untuk tidak mudah mempercayai orang lain.
“Ini kerana, sering kita dengar dan baca melalui media berlakunya kes jenayah melibatkan orang yang dikenali mangsa. Justeru, perkara seperti ini, harus dielakkan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: