Perak, Pulau Pinang meterai MoU jual air terawat

IPOH – Perbadanan Kemajuan Negeri Perak bersama Gamuda Berhad JV (PKNPk-Gamuda JV) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penjualan lebihan air terawat daripada Skim Bekalan Air Utara Perak (NPWSS) kepada Pulau Pinang pada Khamis.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Hotel Casuarina@Meru itu dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bersama barisan pegawai kanan daripada kedua-dua kerajaan negeri.

Perjanjian ini adalah hasil rundingan intensif selama beberapa bulan dalam menetapkan terma utama penjualan air kepada Pulau Pinang yang meliputi aspek harga, jumlah bekalan dan tempoh pembekalan bagi asas Perjanjian Pembekalan Air Pukal (BWSA) yang bakal dimeterai antara pembekal dan PBAPP.

Kedua-dua pihak berhasrat untuk memuktamadkan BWSA tersebut dalam tempoh enam bulan, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa yang berkenaan.

Saarani berkata, MoU ini adalah detik bersejarah bagi Perak dan Pulau Pinang  yang berjaya menamatkan kebuntuan isu bekalan air antara negeri yang berlarutan selama lebih sedekad.

Menurutnya, sejak tiga tahun kebelakangan ini, kedua-dua negeri dapat mencapai momentum serta kesinambungan yang memanfaatkan kedua-dua belah pihak.

“Hari ini, kita berjaya mencapai penyelesaian melalui kata sepakat dalam persefahaman ini.

“Pembinaan dijangka siap pada tahun 2030, sejajar dengan keperluan untuk menangani unjuran defisit bekalan air di Pulau Pinang seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada tahun 2022.

“Bagi Perak pula, projek ini amat penting dalam menjamin bekalan air jangka panjang bagi tujuan pengairan kawasan pertanian di Utara Perak; serta bagi menyokong pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) yang bakal dibangunkan,” katanya.

Katanya, perjanjian tersebut bukan sahaja memenuhi keperluan air di kedua-dua negeri yang selari dengan Perak Sejahtera 2030 dalam mengurus khazanah air yang amat bernilai serta memanfaatkan ekonomi negeri melalui sumber hasil baharu dan berterusan dalam tempoh 40 tahun akan datang.

“Projek ini juga sejajar dengan strategi pelaburan awam baharu yang digariskan dalam Belanjawan Malaysia 2026.

“Melalui kesepakatan terhadap terma utama, kedua-dua negeri kini mempunyai projek yang berdaya komersial dan boleh dibiayai secara fleksibel melalui pembiayaan Persekutuan atau model kerjasama awam-swasta (Public Private Partnership-PPP).”

“Kerajaan negeri yakin sepenuhnya terhadap keupayaan PKNPk-Gamuda JV. Rekod prestasi mereka yang cemerlang dalam melaksanakan projek loji rawatan air serta infrastruktur berskala besar dengan menepati masa dan bajet menjadi bukti keupayaan tersebut.

“Keyakinan ini memberi jaminan bahawa skim penting ini akan dapat disiapkan menjelang tahun 2030 demi manfaat bersama Negeri Perak dan Pulau Pinang.’’ ujarnya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan isu bekalan air jangka panjang dan berbesar hati dapat meraih persefahaman bersejarah bersama dengan negeri Perak yang merupakan satu kejayaan penting bagi menjamin keselamatan bekalan air Pulau Pinang.

“Perjanjian ini memastikan sumber bekalan air terawat yang stabil untuk jangka panjang pada kadar yang berpatutan.

“Kini, Pulau Pinang mempunyai kepelbagaian sumber bekalan air dan tidak lagi terlalu bergantung kepada Sungai Muda,” katanya.

Beliau berkata, Pulau Pinang juga telah merangka Water Contingency Plan 2030, namun NPWSS memberikan jaminan tambahan terhadap keperluan bekalan air yang kritikal menjelang tahun 2031.

“Kami berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual dan yakin dengan pengalaman PKNPk-Gamuda JV bagi pelaksanaan projek ini mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

“Perkara ini penting bagi memastikan Pulau Pinang terus menarik pelaburan bernilai tinggi yang akan menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri negeri untuk beberapa dekad akan datang,” katanya.

Projek menyeluruh NPWSS merupakan inisiatif strategik untuk memindahkan 1,500 juta liter sehari (MLD) air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah bagi memenuhi keperluan pengairan, domestik dan perindustrian, termasuk pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) yang bakal dibangunkan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MoU nadir bumi Malaysia-AS: Berita gembira negeri pengeluar NR-REE – Saarani

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI