IPOH – Pelancongan waktu malam dilihat antara fokus baharu di Perak bagi memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pilihan pelancong, khususnya di peringkat antarabangsa.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, negeri ini mempunyai kekuatan dalam pelancongan domestik dan pelbagai usaha sedang dijalankan termasuk meningkatkan penganjuran acara dan aktiviti pada waktu malam.
Menurutnya, Perak secara keseluruhannya sudah terkenal dengan kepelbagaian makanan serta keindahan alam semula jadi tetapi masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperkukuh khususnya dalam sektor pelancongan.

“Perak memang amat bagus dalam pelancongan domestik tetapi kita (kerajaan negeri) sedang berusaha untuk mempertingkatkan pelbagai penganjuran acara dan aktiviti supaya boleh mencapai ke peringkat antarabangsa.
“Walaupun Perak terkenal dengan makanan dan alam sekitar tetapi masih terdapat kekurangan dua perkara iaitu tempat penginapan yang bertaraf tinggi dan pengisian aktiviti pada waktu malam.
“Masalah itu mula diselesaikan secara berperingkat dengan pembukaan hotel-hotel bertaraf tinggi seperti AC Marriott, Wyndham dan sebagainya yang telah muncul di Ipoh.

“Sekarang, kita ingin mengadakan pengisian pada waktu malam dengan menganjurkan acara dan aktiviti sihat memandangkan kebanyakan pengunjung yang datang ke Perak terdiri daripada mereka yang berkeluarga.
“Justeru, event-event (acara-acara) ini perlu diadakan untuk menggalakkan mereka berkunjung ke negeri Perak,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Budaya Tahun Baharu Cina Tahun 2026 di Kinta Riverwalk di sini pada Khamis.
Menyentuh mengenai penganjuran Pesta Budaya Tahun Baharu Cina 2026 Loh berkata, ia adalah salah satu acara bagi memeriahkan perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada minggu hadapan.

Katanya, acara yang berlangsung mulai hari ini sehingga 22 Februari itu akan diadakan setiap hari dari jam 4 petang sehingga 11 malam kecuali pada 17 dan 18 Februari dijangka akan menarik kira-kira 10,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Pelbagai pengisian telah disusun sepanjang program, termasuk gerai jualan, aktiviti untuk kanak-kanak dan dewasa serta beberapa pertandingan seperti kaligrafi, melukis, mewarna dan pertandingan baju tradisional khusus bagi pengunjung masyarakat Cina.
“Acara tersebut turut menjadi sebahagian daripada siri program berterusan yang akan dianjurkan di lokasi sama, bukan hanya sempena Tahun Baharu Cina, malah akan diteruskan menjelang perayaan lain termasuk sebelum Hari Raya Aidilfitri bagi menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


