Perak rekod 161.9 peratus peningkatan kes denggi, enam kematian

IPOH – Perak merekodkan peningkatan jumlah kumulatif kes demam denggi iaitu 4,410 kes sejak awal tahun ini berbanding 2,726 kes dalam tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 161.9 peratus.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Intergrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, keadaan itu amat membimbangkan memandangkan terdapat enam kes kematian demam denggi yang dilaporkan di daerah Kinta dan Manjung.

Menurutnya, bilangan kes kematian ini menunjukan peningkatan ketara berbanding tiada kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Bagi tempoh 16 hingga 22 Jun 2024 (Minggu Epid ke 25), sebanyak tujuh lokaliti hotspot aktif melibatkan empat lokaliti di daerah Kinta, dua lokaliti di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) dan satu lokaliti di daerah Hulu Perak.

“Punca utama kejadian demam denggi yang telah dikenal pasti adalah kerana tempat pembiakan Aedes yang tinggi di lokaliti wabak tersebut.

“Antara tempat pembiakan nyamuk dijumpai termasuklah di lot kosong terbiar, rumah kosong tidak berpenghuni, longkang yang tidak diselenggara dengan baik dan tangki septik individu tidak bertutup atau terdedah.

“Selain itu, tong tadahan air tidak bertutup di dalam dan luar rumah serta sampah sarap yang boleh menakung air di persekitaran juga antara punca berlaku wabak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah melaksanakan aktiviti pemeriksaan tempat pembiakan (PTP) di dalam premis di kawasan kes dan wabak serta menjalankan penguatkuasaan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

“Sehingga 22 Jun 2024, sebanyak 232,469 premis telah diperiksa dengan 2,508 notis kompaun kesalahan dan 295 notis pembersihan di bawah Seksyen 8(1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 telah dikeluarkan.

“Selain itu, melalui Pejabat Kesihatan Daerah dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pihak JKN Perak juga melaksanakan aktiviti larviciding, Semburan Ruang Termal (SRT) dan Semburan Ultra Low Volume (ULV) di semua lokaliti berwabak dan berpotensi wabak di negeri Perak bagi membasmi vektor pembawa penyakit demam denggi iaitu nyamuk Aedes,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Cuaca punca peningkatan 407.7 peratus demam denggi di Ipoh

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI