IPOH – Sebanyak 513 kes bunuh diri direkodkan bagi tempoh 2019 sehingga September 2024 di Perak, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan.
Beliau berkata, berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM) kes bunuh diri paling tinggi di Perak direkodkan pada 2021 iaitu seramai 112 orang.
“Data bilangan bunuh diri di Perak menunjukkan sebanyak 42 kes direkodkan pada 2019, 56 kes 2020, 112 kes 2021 dan ini Waktu COVID-19, 111 kes (2022), 98 kes 2023 dan 94 kes bagi tempoh Januari hingga September 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan B. Vabani (DAP-Malim Nawar) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Zainol Fadzi Paharudin (BERSATU-Sungai Manik), Sivanesan berkata, masalah kesihatan mental seperti kemurungan (depression) kebimbangan (anxiety) dan tekanan di tempat kerja merupakan antara faktor mengapa mangsa memilih untuk membunuh diri.
Beliau berkata, bagaimanapun pengesahan perubatan diperlukan bagi mengenal pasti punca yang mendorong pesakit mental memilih untuk menamatkan riwayat hidup mereka.
“Kalau kita mahu mengenalpasti satu jawapan khas ianya sukar kerana hanya pakar dan doktor yang tahu mengenai hal ini dan tertakluk kepada kes pesakit,” katanya.
“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perak komited dalam mengukuhkan lagi aktiviti saringan kesihatan mental dan antara inisiatif berterusan yang dijalankan adalah melalui Saringan Minda Sihat yang dijalankan di klinik kesihatan, di lapangan semasa program program Kesedaran Kesihatan, dan di peringkat komuniti oleh sukarelawan KOSPEN,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
17,300 saringan mental direkodkan sejak MyMinda diperkenalkan