IPOH – Kedudukan kewangan Perak terus mengukuh apabila apabila mencatat surplus tiga tahun berturut-turut dengan merekodkan kutipan hasil hampir RM1.24 bilion setakat 24 November 2024.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kejayaan mengurus fiskal negeri secara berhemat telah mengembalikan kekuatan kewangan Perak selepas melalui tempoh mencabar tiga hingga empat tahun sebelum ini.
Menurutnya, mengikut rekod, Perak mencatatkan lebihan atau surplus sebanyak RM29.6 juta pada 2022, RM62.4 juta pada 2023 dan RM45.6 juta pada 2024.
“Daripada mencatat defisit RM78 juta pada 2020 dan RM6.59 juta pada 2021, negeri ini kembali mencatatkan lebihan untuk tiga tahun berturut-turut.
“Pencapaian ini mengesahkan bahawa disiplin tatakelola dan kecekapan pentadbiran adalah kekuatan sebenar Perak dalam mendepani apa jua cabaran ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, Perak juga sekali lagi mencipta sejarah apabila kutipan hasil negeri melepasi angka RM1 bilion lebih awal daripada jangkaan.
“Setakat semalam (24 November), kerajaan negeri telah berjaya merekodkan kutipan hasil dan terimaan pembangunan sebanyak RM1.24 bilion. Bukiti kita semakin gagah dalam membina kekuatan masa hadapan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian, Pejabat Daerah dan Tanah, serta agensi lain atas kejayaan meningkatkan hasil negeri.
Momentum fiskal yang stabil ini membolehkan Perak merangka Belanjawan 2026 dengan unjuran hasil dan terimaan pembangunan mencecah RM1.61 bilion, iaitu peningkatan RM80 juta berbanding belanjawan sebelumnya.
Saarani menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus mengamalkan dasar fiskal yang seimbang supaya prestasi positif ini dapat dikekalkan.
“Alhamdulillah, berkat kerja keras jentera pentadbiran dan semangat juang rakyat, Perak kembali ke landasan kemajuan.
“Dari sebuah negeri yang hampir luluh, kita kini berjaya membentangkan belanjawan dengan anggaran perbelanjaan tertinggi dalam sejarah untuk dua tahun berturut-turut iaitu RM1.52 bilion pada 2025 dan RM1.61 bilion untuk tahun 2026,” katanya. -MG Perak


