KUALA KANGSAR – Kedudukan kewangan Perak semakin mengukuh dengan merekodkan kutipan hasil mencecah RM1.1 bilion setakat 7 November tahun ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia mencerminkan kerajaan di bawah naungan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah belayar di haluan yang tepat untuk mencapai sasaran RM1.4 bilion.
“Lantaran itu, pada taksiran yang mendekati, Kerajaan Tuanku dijangka dapat memadam unjuran defisit sebanyak RM81.8 juta dalam Belanjawan 2025.
“Ia sekali gus bakal merekodkan lebihan atau surplus untuk empat tahun berturut-turut petanda hasil dan perbelanjaan negeri diurus secara cekap dan berhemah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke-69 di Istana Iskandariah, di sini, pada Ahad.
Berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah; dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Menurut Saarani, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Perak turut merekodkan peningkatan kepada 4.4 peratus pada 2024 dengan nilai RM86.2 bilion berbanding 2.7 peratus (RM82.6 bilion) tahun sebelumnya.
“Pertumbuhan ini disokong kekuatan sektor perkhidmatan dan pembuatan yang masing-masing menokok 63.3 dan 19.4 peratus, diikuti pertanian 14.0 peratus.
“Manakala sektor pembinaan dan perlombongan turut mencatat pertumbuhan 2.6 dan 0.6 peratus dan menjadi tanda makmurnya negeri dan gigihnya rakyat berikhtiar membangun kehidupan,” katanya
Tambah Saarani, menjelang pembentangan Bajet Negeri Perak 2026 hujung bulan ini, beliau berkata, kerajaan negeri akan memperkukuh daya tahan ekonomi negeri melalui kesinambungan projek berimpak tinggi.
Katanya, antara yang diberi penekanan ialah peluasan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan pengembangan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).
“Turut diberi tumpuan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh yang kini dalam fasa penambahbaikan kemudahan kargo dan penerbangan serta pemuliharaan Tapak Warisan Dunia Lenggong bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Saarani dalam sembah ucapan beliau turut menzahirkan iltizam untuk menjunjung amanah yang diletakkan di jemalanya selaku Memanda Menteri Besar, dengan ikrar taat setia memelihara kemuliaan pemerintahan Sultan Nazrin dan memastikan tradisi ‘negeri bersultan rakyat beraja’ kekal subur sepanjang waktu.
“mewakili sekalian warga pentadbiran, patik dengan penuh takzim menjunjung kasih atas segala titah bicara, limpahan hikmah, dan mutiara pemikiran Tuanku yang senantiasa menyalakan suluh ilmu dan mengerdipkan pedoman buat patik sekalian dalam melunaskan amanah membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat,” katanya. -MG Perak


