IPOH – Sebanyak RM253 juta zakat berjaya dikutip di seluruh Perak pada 2024, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Syamsul Hazeman Md Salleh.
Beliau berkata, kutipan itu menunjukkan peningkatan signifikan berbanding 2023 iaitu sebanyak RM237 juta.
Menurutnya, buat masa ini rekod tersebut adalah yang tertinggi dicatatkan dan memang berlaku peningkatan pada setiap tahun.
“Apabila angka kutipan zakat meningkat, maka kumpulan asnaf akan mendapat manfaat lebih dengan nilai lebih tinggi yang kita boleh agihkan.
“Kita mendapati kesedaran ini mungkin dalam kalangan pembayar zakat dan juga mungkin dari segi kemampuan ekonomi sendiri mereka mampu untuk berzakat lebih daripada yang sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Hi Tea bersama Pembayar Zakat Korporat, Penyerahan Skim Bantuan Kebajikan Siswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta Bantuan Per Kapita Rumah Perlindungan Anak Yatim Negeri Perak di Casuarina @ Meru di sini pada Selasa.
Sementara itu, Syamsul Hazeman berkata, sebanyak 43 syarikat dan individu melaksanakan agihan zakat melalui platform wakalah di negeri Perak dengan jumlah keseluruhan RM24.3 juta pada tahun lalu.
Katanya, daripada jumlah tersebut, agihan kepada kategori asnaf fakir miskin sebanyak RM2.3 juta, fisabilillah (RM2.2 juta), ghorimin (RM737,703), muallaf (RM502,010) dan institusi pendidikan awam dan swasta menerima wakalah tertinggi iaitu RM18.6 juta.
“Pada tahun ini, MAIPk menambah senarai penerima Skim Bantuan Kebajikan Siswa kepada 10 institusi di negeri Perak dengan jumlah RM540,000.
“Objektif skim bantuan bertujuan membantu mahasiswa dalam kalangan asnaf fakir dan miskin meringankan beban sara diri kehidupan mereka di kampus.
“Dana yang disalurkan ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tabung Amanah Zakat sebagai inisiatif kepada usaha bersama menangani kemiskinan kampus,” jelasnya.
Selanjutnya, beliau memaklumkan, MAIPk turut mengadakan penyerahan sumbangan zakat kepada 18 Pusat Jagaan dan Perlindungan Anak Yatim seluruh negeri Perak melibatkan dana sumbangan sebanyak RM257,000 melibatkan kos pengoperasian Pusat Jagaan Anak Yatim dalam meringankan beban mereka. – MG Perak
Artikel Berkaitan: