Perak rekod nilai KDNK RM82.6 bilion 2023 – Saarani

IPOH – Perak merekodkan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berjumlah RM82.6 billion dengan pertumbuhan 2.7 peratus, meskipun berdepan persekitaran ekonomi global tidak menentu serta perang geopolitik yang masih mencengkam pasaran komoditi sepanjang tahun 2023.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar KDNK negeri dengan nilai RM52.3 bilion berbanding RM50.7 bilion pada tahun 2022 iaitu pertambahan RM1.6 bilion.

Menurut beliau, pertumbuhan sektor itu diterajui oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, diikuti dengan subsektor penginapan, makanan dan minuman, utiliti, pengangkutan serta ICT.

“Sektor pembuatan pula tumbuh 2.2 peratus berbanding tahun 2022, didorong peningkatan produk bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka serta minyak dan lemak (sayuran dan haiwan), prosesan makanan, minuman serta produk tembakau.

“Sektor pertanian yang berdepan penyusutan negatif 2.6 peratus pada 2022 mula menunjukkan pemulihan apabila tumbuh 1.9 peratus tahun 2023. Prestasi positif ini dipengaruhi oleh subsektor tanaman dan subsektor perikanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2024 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Jumaat.

Tambah Saarani, sektor perlombongan dan pengkuarian turut merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 0.6 peratus iaitu dengan nilai RM486.8 juta berbanding RM449.4 juta pada tahun 2022.

“Berdasarkan data pelaburan terkini yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), jumlah pelaburan yang diluluskan di Negeri Perak bagi sektor pembuatan untuk setengah tahun pertama 2024 dari bulan Januari hingga Jun adalah RM601.49 juta, melibatkan 30 buah projek,” katanya.

Membentang lanjut, Saarani berkata, Perak pernah berdepan saat getir dan mencabar paa 2020 dengan merekodkan angka negatif 2.4 peratus bagi pertumbuhan KDNK, selain berada di ambang krisis dengan defisit mencecah RM78 juta.

“Alhamdulillah, berkat kerja keras seluruh jentera pentadbiran, Perak berjaya bangkit kembali ke landasan kemajuan dan KDNK negeri merekodkan momentum pertumbuhan tiga tahun berturut-turut.

“Daripada defisit RM78 juta dan RM6.59 juta pada tahun 2020 dan 2021, kita kembali mencatat surplus untuk dua tahun berturut-turut iaitu RM29.6 juta pada tahun 2022 dan RM62.4 juta pada tahun 2023 iaitu angka tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

MGPerak: Belanjawan Perak 2025 Tertinggi Dalam Sejarah Berjumlah RM1.52 Bilion

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI