PERTANIAN bandar atau urban farming menjadi alternatif kepada masyarakat untuk menambah pendapatan sampingan dengan menjalankan aktiviti bercucuk tanam serta memperkasakan agenda sekuriti makanan di Perak.
Justeru, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mewujudkan projek pertanian itu sejak Julai 2020.
Tiga kategori di bawah program pertanian itu adalah pertanian komuniti (community farming), pertanian luar bandar (rural farming) dan pendidikan pertanian (edu farming).
Teknologi pertanian yang diajar kepada komuniti adalah mudah difahami dan bukan secara tradisional antaranya termasuklah hidroponik, fertigasi, akuaponik (percampuran tanaman dan perikanan).
Pengurus Besar Operasi dan Peladangan Perak SADC, Noorasidi Mohamed Noordin berkata, sebanyak 265 komuniti terlibat dalam program membabitkan ketiga-tiga kategori berkenaan.
Menurutnya, antara lokasi projek pertanian itu termasuklah di sekolah, masjid atau surau sekitar negeri ini.
“Perak SADC mengambil inisiatif untuk memberi pengajaran kepada komuniti cara yang betul untuk menanam benda yang kita makan setiap hari.
“Kita mengambil semangat daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu ‘kita tanam apa yang kita makan dan kita makan apa yang kita tanam’. Selebihnya (hasil tanaman) boleh dijual ataupun sedekah kepada yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada MG Perak ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Rapat Setia, baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, Noorasidi berkata, sebanyak RM2.6 juta kos diperuntukkan Perak SADC sejak program ini dimulakan sehingga tahun lalu.
Menurutnya, dari segi teknikal terdapat pegawai yang akan membantu memberi penerangan serta memantau projek pertanian itu sekurang-kurangnya dua bulan sekali untuk melihat sama ada projek ini berjalan dengan baik atau tidak.
“Pada tahun ini kita masih mengekalkan bajet untuk melaksanakan projek urban farming tetapi mengambil pendekatan strategi berbeza.
“Kita akan menggunakan pendekatan 50-50 iaitu 50 peratus diambil untuk menjalankan projek pertanian baharu manakala selebihnya digunakan bagi menyokong kesinambungan daripada program ulangan (repeatable program).
“Memandangkan ia adalah projek CSR, kita tidak mengambil sebarang keuntungan. Justeru, kita berharap menerusi keuntungan yang dijana menerusi program ini, ia dapat membantu untuk menampung dana serta menambah pendapatan dalam komuniti itu sendiri,” jelasnya.
Ujar beliau, SK Rapat Setia adalah salah satu daripada 109 sekolah di Perak yang sudah tiga kali melakukan kesinambungan menerusi pendidikan pertanian.
Katanya, pertama kali sekolah itu memulakan pendidikan pertanian pada 2022 dengan penanaman hidroponik membabitkan 200 pot diikuti Julai 2023, sekolah memohon penambahan untuk fertigasi serta penambahan sedikit hidroponik.
“Kita sentiasa memantau projek pertanian yang dijalankan di sekolah ini dan terdapat kesinambungan kerja. Pada akhir November lalu, sekolah berkenaan memohon untuk melaksanakan projek penanaman padi.
“Justeru, kita amat berbesar hati membantu memberikan sumbangan yang diperlukan untuk merealisasikan tanaman padi di sekolah berkenaan.
“Sehubungan itu, jika terdapat kesinambungan projek dan ia berjalan dengan bagus, kita tiada halangan untuk terus membantu. Melalui cara ini secara tidak langsung dapat memberi pengajaran kepada pelajar,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
SK Rapat Setia catat sejarah sekolah bandar pertama tanam padi