TAIPING — Keselamatan serta keperluan asas mangsa ribut di sekitar Taman Damai, Taman Indah dan Taman Kaya di Changkat Jering di sini menjadi keutamaan utama Kerajaan Negeri Perak susulan kejadian bencana yang melanda kawasan itu petang semalam.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, selain itu, kerajaan negeri turut memastikan semua mangsa mendapat perlindungan serta bantuan sewajarnya melalui tindakan segera agensi berkaitan.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak juga telah mengambil langkah pantas dengan membuka pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa terjejas.
“Alhamdulillah, secara kebetulan saya berada di sekitar Taiping dan telah dimaklumkan mengenai kejadian ribut yang melanda sekitar Taman Damai, Taman Indah dan Taman Kaya di Changkat Jering.
“Kerajaan negeri melalui JKM Perak telah bertindak pantas dengan membuka PPS di Taman Kaya bagi menempatkan seramai 34 orang mangsa melibatkan 23 buah keluarga.
“Keutamaan kita ketika ini adalah memastikan keselamatan serta keperluan asas semua mangsa terjaga dengan sebaiknya.

“Tambahan pula dalam bulan Ramadan ini, JKM turut memastikan PPS disediakan selari dengan keperluan ibadah seperti ruang solat, kemudahan bersahur dan berbuka puasa, supaya mangsa dapat menjalani ibadah dalam keadaan yang lebih selesa walaupun diuji dengan musibah.
“InsyaAllah, tindakan susulan akan terus disusun bagi memastikan setiap mangsa menerima bantuan yang sewajarnya akibat bencana ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak terutama agensi kerajaan, petugas keselamatan, sukarelawan dan komuniti setempat yang bertungkus-lumus membantu menyelaras dan melancarkan bantuan awal ini walaupun dalam suasana Ramadan.
“Semoga semua mangsa diberi kekuatan dan dipermudahkan segala urusan. Kita doakan agar semuanya kembali pulih seperti sediakala,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, pelbagai kerosakan dialami penduduk akibat kejadian tersebut antaranya, rumah ditimpa pokok, bumbung rumah diterbangkan angin, khemah bazar Ramadan patah serta bumbung kaki lima serta pagar kubur di Masjid Pengkalan Aur runtuh.
Antara lokasi yang terkesan adalah Taman Kaya, Kampung Sentosa, Batu 2 ½, Kampung Pak Darus, Taman Ria, Taman Damai,Taman Pengkalan Indah, Pengkalan Aur, Program Perumahan Rakyat (PPR) Simpang Perdana dan Jalan Simpang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Satu PPS dibuka susulan kejadian ribut, pokok tumbang di Taiping


