Perak salur insentif 11 koperasi tersenarai 100 Koperasi Terbaik Malaysia

IPOH – Kerajaan negeri menyediakan insentif berjumlah RM55,000 kepada 11 koperasi di Negeri Perak yang berjaya tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia pada tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemberian insentif itu bukan sahaja sebagai penghargaan, malah juga sebagai dorongan untuk lebih banyak koperasi mencapai kecemerlangan sama.

Katanya, jumlah koperasi di Negeri Perak yang tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia juga adalah kedua tertinggi selepas Wilayah Persekutuan.

Perak salur koperasi tersenarai 100 Koperasi Terbaik Malaysia Saarani kerajaan negeri
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak Tahun 2024 di Kelab Golf Diraja Perak, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 DISEMBER 2024.

“Sebanyak 11 koperasi berjaya mengekalkan kedudukan mereka sebagaimana tahun sebelumnya. Pencapaian ini jelas membuktikan bahawa gerakan koperasi di Perak terus cemerlang dan mampu menjadi contoh kepada koperasi-koperasi lain di seluruh negara.

“Kejayaan ini jelas membuktikan keupayaan koperasi untuk menyesuaikan diri dengan cabaran yang semakin rencam serta mampu memanfaatkan setiap peluang yang ada dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak tahun 2024 di Royal Perak Golf Club, dekat sini, pada Isnin.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed serta Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.

Antara 11 koperasi negeri yang tersenarai termasuk Koperasi Guru-Guru Sekolah Malaysia Berhad, Koperasi Perbadanan Perak Berhad, Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad serta Koperasi Perladangan Kawasan Bagan Datoh Perak Berhad.

Dalam pada itu Saarani memberitahu, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak sebanyak RM620,000 untuk pembangunan dan kawal selia koperasi sepanjang tahun ini.

Jelas beliau hasil peruntukan itu, lebih 700 gerakan koperasi di Negeri Perak telah menerima manfaat dengan melibatkan lebih 35,000 anggota.

Perak salur koperasi tersenarai 100 Koperasi Terbaik Malaysia Saarani kerajaan negeri
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan Anugerah Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia kepada penerima ketika hadir ke Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak Tahun 2024 di Kelab Golf Diraja Perak, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 DISEMBER 2024.

Tambah Saarani, melalui Belanjawan Perak 2025 yang bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ peruntukan berjumlah keseluruhan RM1.52 bilion disalurkan kerajaan negeri dalam usaha memperkukuhkan sektor koperasi.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi saranan agar semua koperasi di negeri ini dapat beradaptasi dengan teknologi, mempelbagaikan sumber pendapatan, serta memenuhi keperluan semasa.

Mengulas lanjut ketika ditemui pemberita selepas majlis Saarani berkata, sehingga kini belum ada mana-mana badan koperasi yang tampil kepada kerajaan negeri menunjukkan minat untuk terlibat sama dengan pembangunan beberapa projek mega yang sedang giat dibangunkan di negeri ini.

“Pihak Projek Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) ada berjumpa dengan saya sebelum ini, yang mana mereka memaklumkan mereka telah memperuntukkan RM194 juta untuk keperluan pasir.

“Saya sebutkan agar beri peluang itu kepada koperasi untuk dibekalkan pasir kepada projek WISE, sekurang-kurangnya ada keuntungan kepada koperasi. Tetapi sehingga kini masih belum ada koperasi yang memohon,” jelas beliau. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak saran koperasi teroka peluang baharu dan manfaat AI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI