Perak salur RM10 juta untuk institusi pendidikan Islam

IPOH – Kerajaan Perak memperuntukkan RM10 juta bagi institusi pendidikan Islam pada tahun ini, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan institusi tersebut tidak terpinggir.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata demikian bagi menjawab persoalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali yang mengandaikan bahawa kerajaan negeri tidak prihatin di atas keperluan institusi pendidikan Islam di negeri ini.

Katanya, peruntukan itu melebihi jumlah yang diberikan kepada sembilan sekolah persendirian Cina (SUWA) sebanyak RM1.8 yang dibangkitkan Noor Azman pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025.

“Masa dia (Noor Azman) menyebut itu dia boleh bertanya balik, sekolah-sekolah Islam ini macam mana? Jadi seolah-olahnya kita berbelanja RM1.8 juta kepada sekolah Cina tapi tidak berbelanja untuk sekolah agama.

“Sebelum ini sekolah SUWA, sekolah Tamil dan sekolah agama di negeri diberikan sebidang tanah untuk diusahakan oleh lembaga pengelola namun berdepan cabaran akibat pandemik Covid-19.

“Selepas itulah peruntukan diberikan RM1.8 juta kepada SUWA, RM1 juta kepada sekolah Tamil dan RM10 juta kepada sekolah agama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai menggulung perbahasan RUU Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Saarani berkata, tidak adil kepadanya apabila ADUN Alor Pongsu tidak memaklumkan sepenuhnya mengenai bantuan-bantuan pendidikan yang disalurkan kerajaan negeri secara keseluruhan.

“Itu bukan perkara baharu. Tetapi ia tidak adil kepada saya kerana apabila beliau hanya bercerita tentang perkara itu sahaja dan tidak menyatakan bahawa kita (kerajaan negeri) telah memperuntukkan RM10 juta untuk membina sekolah agama rakyat, sekolah baharu dan kerja mengecat semula sekolah.

“Sebab itu saya perlu sebut perkara tersebut tadi. Jika tidak, ia seolah-olah menunjukkan kerajaan negeri hanya meluluskan peruntukan bagi perkara itu sahaja.

“Sebenarnya, ia adalah persetujuan kerajaan negeri untuk membantu pendidikan rakyat negeri Perak, termasuk sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah agama Islam.

“Itu sebab saya menegaskan dalam penggulungan tadi, saya katakan jangan dibanding-bandingkan kerana berapa banyak pun yang diberikan tetap tidak mencukupi, namun kita berusaha supaya semua rakyat dapat merasai manfaatnya. Itu sahaja,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

DUN Perak lulus RUU Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI