IPOH – Kerajaan Perak menyerahkan bantuan khas berjumlah RM2.56 juta bagi persiapan menunaikan ibadat haji musim 2026 kepada 2,561 bakal jemaah haji di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia sebagai inisiatif kerajaan negeri bagi meringankan beban dan membantu memudahkan perjalanan bakal jemaah Perak ke Tanah Suci.
Katanya, ia juga sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada bakal jemaah haji dalam memberi bantuan kepada mereka terutama daripada segi penyediaan persiapan yang diperlukan.

“Menerusi Belanjawan Negeri Perak 2026 yang saya bentangkan pada Disember lalu, saya ada umumkan bahawa kita akan memberi wang ‘duit poket’ RM1,000 kepada semua jemaah haji negeri.
“Wang itu akan dimasukkan dalam akaun Tabung Haji masing-masing. Jika ada yang pergi secara berpasangan, mereka akan dapat RM2,000. Ia tidak banyak, tetapi ia boleh digunakan sebagai memberi keperluan-keperluan di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Kursus Perdana Haji Musim Haji 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah Operasi Bahagian Teknologi Maklumat Haji Lembaga Tabung Haji, Shamsul Kamar Hussein Kamal.
Dalam pada itu Saarani turut mengingatkan agar semua jemaah negeri untuk sentiasa mematuhi segala arahan daripada Tabung Haji dan pihak berkuasa Arab Saudi susulan situasi tidak menentu di Asia Barat.

“Para bakal jemaah haji dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta mematuhi segala arahan yang ditetapkan oleh pihak Tabung Haji dan pihak berkuasa Arab Saudi.
“Kerajaan Malaysia bersama Lembaga Tabung Haji sentiasa memantau perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan serta kebajikan jemaah haji sentiasa terjaga,” katanya.
Pada masa sama beliau berkata, para bakal jemaah haji perlu memahami bahawa peluang menunaikan ibadah haji bukan sesuatu yang mudah diperoleh.
Kata beliau, berdasarkan maklumat, dianggarkan sekitar 70,000 hingga 80,000 permohonan rayuan untuk menunaikan haji diterima, sedangkan kuota rasmi negara kekal sekitar 31,600 jemaah.

“Kewajipan haji terletak kepada mereka yang berkemampuan. Oleh itu, usaha menabung, menjaga kesihatan serta membuat persediaan awal menjadi begitu penting.
“Malah, aspek kesihatan kini menjadi kriteria penting dalam memenuhi syarat. Pihak berkuasa Arab Saudi menetapkan bahawa bakal jemaah perlu berada dalam keadaan kesihatan yang baik serta bebas daripada penyakit berjangkit yang berisiko,” katanya lagi.
Sementara itu Tabung Haji menerusi kenyataan media memaklumkan, seramai 2,561 orang bakal jemaah haji di seluruh Perak mengikuti Kursus Perdana Haji yang diadakan secara berperingkat bermula pada 3 sehingga 12 April.
Menurutnya, kursus selama dua hari satu malam itu merupakan kemuncak kursus haji lanjutan daripada siri kursus asas dan kursus intensif,
“Ia bagi memperkukuh kefahaman berkaitan ‘manasik’ (tatacara pelaksanaan) haji kepada bakal jemaah haji terpilin pada musim ini sebelum berangkat ke Tanah Suci,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bakal jemaah haji Perak terima bantuan khas RM1,000 seorang


