IPOH – Kerajaan Perak menyambut baik saranan Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak bagi memantau penjaja dan peniaga yang berniaga di luar kawasan sekolah.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching memaklumkan, PBT dan JPN akan bekerjasama menjalankan pemantauan serta penguatkuasaan berkaitan bagi mengelakkan tragedi sama daripada berulang.
“Bagaimanapun, kita lihat memang ada pihak yang mungkin tidak mematuhi peraturan meniaga di tempat yang tidak sesuai termasuk barang-barang yang jual sama ada ikut peraturan sedia ada ataupun tidak.
“Susulan itu, kita akan ambil perhatian di kawasan sekitar sekolah untuk memastikan kalau ada aktiviti tidak sesuai yang membawa isu kepada keselamatan lalu lintas ataupun menjual barang-barang yang mungkin tidak sesuai dijual di kawasan sekolah, kita akan ikut peraturan yang ada,“ katanya.
Beliau berkata demikian susulan insiden murid darjah empat, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, yang maut selepas tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.
Difahamkan, murid berkenaan membeli gula-gula berkenaan daripada sebuah kedai runcit yang berhampiran dengan sekolah ketika mengikuti kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.
Terdahulu, Shy Ching mengadakan lawatan kerja ke beberapa premis hotel yang telah melaksanakan Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) di sekitar bandar raya Ipoh. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
JPN, PPD di Perak disaran pantau penjaja di luar sekolah – Exco