Perak sambut baik pelaksanaan sistem e-Syariah 3.0

TANJUNG MALIM – Perak menyambut baik inisiatif Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk memperluaskan penggunaan sistem e-Syariah versi 3.0 di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, walaupun belum dilaksanakan sepenuhnya, namun persiapan ke arahnya sedang giat dijalankan.

“InshaAllah, apabila direalisasikan kelak, ia akan meningkatkan lagi keberkesanan pengurusan kes serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman Syariah.

“Namun begitu, kita sedar bahawa segala kejayaan dari segi fizikal mahupun digital tidak akan memberi makna yang sebenar tanpa kekuatan sumber manusianya.

“Justeru, kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan pembangunan modal insan dalam kalangan warga Mahkamah Syariah, kerana merekalah nadi yang menggerakkan institusi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Multaqa Mahkamah Syariah (MUM’S) 2025 yang diadakan di Dewan Tunku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pengarah JKSM, Datuk Mohd Rahman Mat Zain dan Ketua Hakim Syarie Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor.

Perak sambut baik pelaksanaan sistem e-Syariah 3.0
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap pada Majlis Penutupan Multaqa Mahkamah Syariah (MUM’S) 2025 yang diadakan di Dewan Tunku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, malam tadi. Foto ihsan Pejabat Menteri Besar Perak

Dalam pada itu, Saarani berkata, latihan berterusan, peningkatan kemahiran, dan pembudayaan integriti adalah tunjang utama untuk memastikan hakim, pegawai dan kakitangan sentiasa berwibawa, berpengetahuan luas, serta bijaksana dalam mendepani cabaran semasa.

“Ini kerana kita percaya, kualiti insaniah akan menjadikan keadilan Syariah terus terpelihara dan dihormati.

“Dengan usaha bersepadu ini, saya yakin Mahkamah Syariah Negeri Perak bukan sahaja akan terus diyakini masyarakat, tetapi juga mampu tampil sebagai model pentadbiran kehakiman Syariah yang unggul dan dihormati di peringkat nasional.

“Inilah tanda bahawa Perak bukan sahaja membangun dari segi fizikal, tetapi juga meneguhkan rohnya dengan memartabatkan hukum Allah dan meninggikan syiar Islam,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan dasar dan inisiatif yang digubal bukan sahaja memacu pembangunan ekonomi dan prasarana, tetapi turut memperkukuh aspek kerohanian, moral dan kesejahteraan sosial rakyat.

“Usaha-usaha ini diterjemahkan melalui program pendidikan, pengukuhan institusi keluarga, serta sokongan berterusan terhadap institusi kehakiman Syariah.

“Kerana saya percaya, sistem kehakiman Syariah yang mantap bukan sahaja mencerminkan tadbir urus Islam yang baik, tetapi juga menjadi tempat rujuk masyarakat dalam mencari penyelesaian secara adil, berhikmah dan diyakini,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

eKSPerk pemudah cara daftar kes mahkamah syariah terpilih di Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI