Perak sasar 1.8 juta penduduk daftar PADU

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyasarkan 1.8 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas di negeri ini untuk mendaftar dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) menjelang akhir Mac depan.

Exco Komunikasi, Multimedia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, kerajaan negeri akan memberi tumpuan membantu rakyat mendaftar dalam sistem PADU dengan kerjasama agensi-agensi terlibat.

Menurut beliau, melalui statistik yang dikemaskini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam, Perak menjadi negeri ketiga tertinggi mendaftar dalam sistem itu melibatkan 45,655 penduduk sejak dilancarkan pada Selasa lalu.

“Seperti sedia maklum, terdapat 70 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh Perak yang menawarkan perkhidmatan untuk membantu rakyat mendaftar dalam sistem ini.

“Selain itu, kita juga akan mengerah seluruh kekuatan di 13 Pejabat Penerangan Daerah dalam negeri ini untuk memastikan penduduk di kampung turut dibantu.

“Justeru, saya mohon kepada masyarakat di negeri ini supaya segera membuat pendaftaran kerana jika mendaftar di saat akhir mungkin akan mengakibatkan kesukaran untuk mengakses pautan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kaunter Pendaftaran PADU di PEDi Batu 8, Tambun di sini pada Jumaat.

Perak sasar 1.8 juta penduduk daftar PADU
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi menyampaikan ucapan ketika meninjau masyarakat setempat mendaftar dan mengemas kini maklumat peribadi dalam Sistem Pengkalan Data Utama (PADU) di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Batu 8 Tambun, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 5 JANUARI 2024.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Azlan berkata, pihaknya juga akan mengadakan taklimat kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini bagi membolehkan mereka membantu memudahkan rakyat mendaftar PADU.

Sementara itu, beliau menyarankan orang ramai supaya berhati-hati tidak terpedaya dengan ‘scammer’ yang menghantar mesej mencurigakan berkaitan PADU.

“Sebelum ini, kita pernah melihat cubaan daripada scammer untuk memanipulasi orang ramai melalui pautan yang terus kepada sindiket penipuan tersebut.

“Jadi saya menasihatkan rakyat yang mempunyai kemusykilan berhubung PADU untuk berhubung terus dengan agensi atau jabatan berkaitan bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung sindiket penipuan PADU di negeri ini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak akan bantu penduduk pedalaman, Orang Asli daftar PADU

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI