Perak sasar 1,000 hotel lengkap proses pelesenan

IPOH – Kerajaan Perak menyasarkan 1,000 pendaftaran premis hotel menjelang akhir tempoh pemutihan kepada semua pengusaha untuk melengkapkan proses pelesenan sebelum 30 Jun depan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, proses pemutihan yang bermula sejak 1 Julai tahun lalu bertujuan memberikan ruang secukupnya kepada semua pengusaha hotel untuk melengkapkan proses pelesenan mereka sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 700 premis dari lima kategori hotel telah berdaftar di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan sebahagiannya masih berstatus lesen sementara.

“Data menunjukkan peningkatan positif dalam pendaftaran premis terutama bagi Kategori 5, merangkumi rumah tumpangan, inap desa dan tapak perkhemahan iaitu sektor yang sebelum ini beroperasi tanpa garisan panduan yang jelas.

“Justeru, dalam usaha meningkatkan pemahaman dan kelancaran pelaksanaan Enakmen Hotel 2023, semua PBT kini giat mengadakan sesi libat urus awam dengan pemilik premis atau pengusaha hotel.

“Edaran surat rasmi daripada kerajaan negeri mengenai pelaksanaan dan kaedah pembayaran Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) juga telah dipanjangkan kepada pemilik premis dan pengusaha melalui notis, risalah, e-mel, hebahan media sosial dan lawan sesawang rasmi 15 PBT di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa premis hotel yang telah melaksanakan CPT di sekitar bandar raya ini, pada Jumaat.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak.

Dalam pada itu, Shy Ching turut memaklumkan bahawa CPT pada kadar RM3 setiap bilik untuk satu malam untuk semua kategori hotel di negeri ini yang bermula 1 Januari lalu.

“Caj ini dikenakan kepada semua penginap yang menginap di hotel-hotel negeri Perak mengikut peruntukan dalam Peraturan-Peraturan Hotel Perak 2024, yang ditetapkan oleh Enakmen Hotel Perak 2023.

“Kutipan CPT ini boleh dilaksanakan secara fizikal di kaunter atau atas talian mengikut ketetapan pengusaha penginapan.

“Bagi memudahkan penginap mengenalpasti hotel yang layak mengutip CPT, lesen di bawah Enakmen Hotel dan notis CPT hendaklah sentiasa dipamerkan secara fizikal, QR, atau cara lain pada setiap masa.

“Selain itu, kerajaan negeri sedang meneliti penambahbaikan kaedah kutipan, termasuk cadangan mewujudkan sistem bersepadu dalam talian bagi mempercepatkan pembayaran serta memastikan rekod data yang lebih tepat dan tersusun.

“Berdasarkan laporan pada bulan Januari 2025 sebanyak anggaran 160,000 daftar masuk telah direkodkan,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pengunjung menginap di Perak dikenakan caj RM3 tahun depan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI