PARIT – Kerajaan Negeri Perak menyasarkan nilai jualan RM800,000 daripada lapan usahawan yang menyertai Malaysia Fest 2024 di Singapura.
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, program bermula 25 hingga 28 Julai 2024 itu turut menyasarkan potensi jualan sekurang-kurangnya RM1 juta.
Menurut beliau, kerajaan negeri melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dengan kerjasama FAMA Perak bersetuju menaja sebahagian kos penglibatan lapan usahawan terpilih.
“Kesemua usahawan ini telah mengikuti proses permohonan dan temuduga serta dipilih berdasarkan kemampuan, fokus program dan kapasiti pengeluaran mereka untuk membawa imej produk Perak ke pasaran Singapura.
“Penyertaan ke program seumpama ini juga akan membantu meningkatkan sumbangan ekonomi secara tidak langsung kepada Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelepasan Produk Usahawan Perak ke Malaysia Fest 2024 di Singapura di Dewan Serbaguna Seri Iskandar, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Zolkafky Harun.
Mengulas lanjut, Salbiah berkata, penyertaan ke Malaysia Fest 2024 di Singapura dapat membantu mengenalpasti kebolehpasaran dan tahap saingan produk keluaran usahawan negeri Perak di pasaran negara berkenaan.
Ujar beliau, program tersebut menyediakan ruang pasaran bagi usahawan tempatan meneroka pasaran eksport melalui Singapura yang merupakan sebuah negara entreport ke pasaran global.
Sementara itu, Zolkafly berkata, program ini merupakan kerjasama merentas antara dua portfolio exco dan pelbagai agensi pertanian serta usahawan untuk mengangkat lebih ramai usahawan termasuk usahawan agro meneroka pasaran yang lebih luas.
“Usahawan-usahawan yang terlibat juga turut menerima pelbagai bantuan dan bimbingan dari pelbagai agensi di bawah portfolio saya seperti Perak SADC, Jabatan Pertanian, FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang, MARDI dan lain-lain.
“Memandangkan kebanyakkan usahawan menerima bantuan dan bimbingan dari pelbagai agensi maka penyelarasan penyertaan Kerajaan Negeri melalui STeP dan FAMA ke program Malaysia Fest ini diharapkan dapat membantu mengenegahkan lebih ramai usahawan agro Negeri Perak ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Untuk rekod sebanyak RM802,422 bagi jualan tunai dan RM15.2 juta untuk jualan kontrak berjaya diperoleh lapan usahawan Perak pada program Malaysia Fest 2023 di Singapura pada 27 hingga 30 Julai 2023.
Bagi tahun ini lapan usahawan telah dipilih mengikuti Malaysia Fest 2024 di Singapura iaitu Delcasis Group Sdn. Bhd.; Chor World; Abrah Food Industries; Setia Selama Enterprise; Future Yusoff Enterprise; Mouthgasm Sdn. Bhd.; KPL Food Sdn. Bhd. dan Helmy Agrisolution Sdn.
Bhd.
Lapan usahawan berkenaan membawa produk seperti pes masakan, sambal, produk sedia dimakan, sos char koay teow, cili giling, sambal nasi lemak, sambal bilis rencah asam pedas dan wafer rolls, snek bilis dan lain-lain. -MG Perak
Artikel Berkaitan: