IPOH – Kontinjen memanah tradisional negeri Perak meletakkan sasaran tiga tempat teratas pada Kejohanan Memanah Tradisional Kebangsaan 2025 yang dijadualkan berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 31 Mei dan 1 Jun ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, pada kejohanan kali ini, Persatuan Memanah Tradisional Negeri Perak (PMTNP) menghantar seramai 43 orang peserta yang terdiri daripada kategori dewasa dan kanak-kanak.
“Besar harapan kita pada kejohanan kali ketiga yang diadakan, kita akan beroleh kejayaan kepada kontinjen Perak dan pada dua kejohanan yang lalu kita (kontinjen Perak) berada di kedudukan kelima.
“Kita berharap dapat perbaiki kedudukan pada kejohanan tersebut menerusi persiapan, latihan, dan pemilihan yang telah dilakukan secara berkala oleh persatuan ini.
“Diharap peserta yang mewakili Perak dapat menunjukkan prestasi yang cukup baik dan akhirnya boleh meletakkan negeri ini di tempat tiga terbaik pada kejohanan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak kepada Skuad Pemanah Tradisional Kontinjen Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi PMTNP, Jefri Saari dan Ketua Kontinjen Negeri Perak, Wan Solahudin Wan Ab Kadir.
Kejohanan kebangsaan kali ketiga itu bakal melibatkan penyertaan lebih 700 pemanah tradisional dari seluruh negara. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PAFA, kerajaan negeri bincang bangunkan sukan bola sepak OKU