IPOH – Kerajaan Perak bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sedang memuktamadkan kertas kerja bagi mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di seluruh negeri bermula Oktober ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan masa depan generasi muda lebih terjamin, bebas daripada bahaya vape dan rokok.
“Inisiatif ini hanya akan berjaya jika disokong dengan tahap kesedaran masyarakat yang tinggi. Tanpa kesedaran, segala undang-undang dan peraturan tidak akan memberi kesan yang diharapkan.
“Justeru, pendidikan dan kefahaman awam menjadi benteng pertama mencegah ketagihan, terutama dalam kalangan generasi muda.
“Kesedaran bukan sahaja melindungi kesihatan diri, tetapi turut membawa kesan besar kepada keluarga dan masyarakat,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan yang mewakili Saarani pada Majlis Peluncuran Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha dan
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Husna Maizura Ahmad Mahir.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, di peringkat negeri Ops Selamat PaPa akan dilaksanakan melalui lima siri operasi dengan kekuatan 12 pasukan memfokuskan kawasan tumpuan orang ramai, sekolah, premis perniagaan dan tempat kerja.
“Setiap operasi bukan sahaja berorientasikan penguatkuasaan, tetapi juga pendidikan. Kita mahu rakyat faham, sedar dan mengambil tanggungjawab, bukan kerana takut pada denda semata-mata tetapi kerana sayangkan kesihatan diri dan keluarga.
“Kita sedang bercakap tentang nyawa. Kita sedang bercakap tentang masa depan anak-anak kita. Setiap batang rokok atau sedutan vape yang berjaya kita elakkan hari ini adalah nafas kehidupan yang kita selamatkan untuk esok.
“Harapan kerajaan negeri supaya kempen ini menjadi pemangkin perubahan budaya, daripada budaya permisif terhadap rokok dan vape, kepada budaya menolak, menjauhi dan akhirnya meninggalkan terus tabiat berbahaya ini,” ujarnya.
Saarani percaya, dengan usaha yang berterusan, Perak berpotensi muncul sebagai negeri contoh yang sihat dan bebas asap rokok. – MG Perak
Artikel Berkaitan: