IPOH – Kerajaan Negeri Perak tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang mengeluarkan kenyataan tidak tepat berhubung isu pelupusan haiwan yang tular di media sosial baru-baru ini.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kerajaan negeri sedang meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak tertentu termasuk dari segi aspek perundangan bagi tindakan lanjut.
“Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan yang tidak betul ini dan kita sedang mengkaji perkara tersebut dari aspek undang-undang untuk tindakan seterusnya.
“Ini untuk memastikan supaya semua pihak perlu bertanggungjawab dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan supaya tidak membawa kepada keadaan salah faham,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung berkaitan isu pelupusan anjing di Lahat, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah dan Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ahmad Zaiyadi Sudin.
Dalam masa sama, beliau memahami kekecewaan masyarakat khususnya pencinta haiwan apabila video berkaitan tindakan Put To Sleep (PTS) terhadap anjing yang tular baru-baru ini.
“Kaedah PTS ini adalah sesuatu yang telah digariskan di bawah kerangka undang-undang yang sedia ada di bawah Akta Kebajikan Haiwan, didapati cara itu adalah yang paling sesuai untuk dijalankan sebagai langkah untuk pelupusan,” jelasnya.
“Selama ini kerajaan negeri memang komited untuk menangani isu haiwan jalanan yang semakin mendapat perhatian masyarakat dengan cara yang lebih berhemah dan lebih berperikemanusiaan berpandukan peruntukan undang-undang yang ada demi kesejahteraan semua.
“Walaupun kaedah PTS telah digariskan sebagai satu kaedah di bawah undang-undang, ia sebenarnya langkah yang terakhir yang kita ambil apabila semua pilihan yang ada tidak dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Katanya, pelbagai kekangan dihadapi dalam menangani isu ini termasuk kapasiti kawasan paun, kesedaran pemilik haiwan yang masih rendah serta kadar pengambilan haiwan angkat yang tidak memberangsangkan.
“Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tidak hanya bergantung kepada PTS sebagai penyelesaian tunggal, malah sedang melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan.
“Di bawah kerajaan negeri, satu kempen kesedaran yang dinamakan Perak Pawsitive Initiative telah dilancarkan pada tahun lalu iaitu pemandulan bersubsidi supaya pemunya haiwan dapat meningkatkan kesedaran mereka supaya populasi haiwan terbiar dapat dikurangkan,” katanya.
Menurutnya, usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak boleh bergantung hanya kepada kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sahaja.
Sandrea berkata, mesyuarat bersama Friends of Pawsitive semalam telah mengenal pasti beberapa langkah jangka pendek, sederhana dan panjang dalam menangani isu haiwan jalanan secara menyeluruh.
“Semalam saya telah mengadakan perjumpaan dengan Friends of Pawsitive dan beberapa beberapa langkah jangka masa pendek, sederhana dan panjang telah dikemukakan pada sesi libat urus tersebut.
“Antaranya cadangan untuk melaksanakan sistem mikrocip bagi haiwan peliharaan dan penglibatan NGO dalam jawatankuasa kebajikan haiwan peringkat negeri supaya menerusi platform rasmi yang ditubuhkan bawah Akta Kebajikan Haiwan, kita dapat maklumbalas daripada NGO secara menyeluruh,” ujarnya.
Semalam media melaporkan, MBI menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pihaknya menanam anjing hidup-hidup di Pusat Kurungan Haiwan, Lahat, di sini seperti yang tular di media sosial.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Korporat MBI itu, tindakan pelupusan haiwan tersebut adalah sebahagian daripada SOP yang ditetapkan dalam pengurusan haiwan terbiar, selaras dengan garis panduan serta perundangan sedia ada. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MBI nafi tanam anjing hidup-hidup, ikut SOP ditetapkan