Perak sedia bantu tanggung kos bawa pulang kitab turath dari Mesir – Saarani

IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan mempertimbangkan untuk menanggung kos membawa pulang lebih 200 khazanah kitab turath tulisan ulama Nusantara sejak tahun 1920 yang dikumpul seorang pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk membantu pelajar di bawah tajaan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) itu.

Bagaimanapun beliau memaklumkan jumlah  bantuan itu hanya akan diputuskan selepas perbincangan kerajaan negeri dengan MAIPk selesai.

Menurutnya, kerajaan negeri menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh penuntut tahun akhir Universiti Al-Azhar Mesir, Muhammad Nur Hadi Salehuddin yang berjuang untuk mengumpul dan membawa pulang kitab berkenaan.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui MAIPk akan membantu usaha yang dilaksanakan pelajar terbabit untuk membawa pulang naskhah-naskhah berkenaan yang diperolehi daripada Maktabah Mustafa Al-Halabi yang juga merupakan syarikat pencetakan dan penerbitan tertua di Mesir.

“Kita dimaklumkan bahawa perbincangan sedang dilakukan untuk membolehkan kitab-kitab berkenaan yang merupakan khazanah yang sangat berharga ditempatkan di perpustakaan penyelidikan MAIPk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Perak 2024 di pejabatnya, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Saarani berkata, menerusi perpustakaan tersebut mengumpul, menyimpan dan merekodkan sumber serta bahan bersejarah berkaitan pentadbiran agama Islam khusus di Perak untuk rujukan khususnya ilmuan agamawan.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Nur Hadi sanggup membelanjakan hampir RM20,000 wang simpanannya bagi mendapatkan 200 kitab turath atau kitab tradisi ilmu Islam karangan ulama alam Melayu dari sekitar 1920-an hingga 1960-an itu.

Antara koleksi dalam simpanan Muhammad Nur Hadi ialah Kamus Idris Al-Marbawi nukilan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pertama Dr Syeikh Idris al-Marbawi, Doa Hari Arafah karya ulama Kelantan Syeikh Jaafar Husein selain kitab ditulis ulama dari Indonesia dan Pattani. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MGPerak: MAIPk Sedia Bantu Pelajar Tajaannya Bawa Pulang Kitab Turath Dari Mesir

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI