Perak sedia hadapi tengkujuh, 293 lokasi ‘hotspot’ banjir dikenal pasti – MB

IPOH – Hasil pemetaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mendedahkan sebanyak 293 lokasi titik panas (hotspot) banjir di kesan di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah berkenaan Daerah Kuala Kangsar merekodkan lokasi ‘hotspot’ banjir paling tinggi di negeri ini sebanyak 76 lokasi.

Menurut beliau, ia diikuti Kinta dan Kerian dengan masing-masing merekodkan 59 lokasi “hotspot’ dan daerah Larut, Matang dan Selama sebanyak 57 lokasi.

Saarani turut mendedahkan lebih 30 kawasan tanah tinggi dan rekreasi turut dikenal pasti berisiko berlaku kepala air atau tanah runtuh di Perak.

“Kerajaan Negeri mengambil perhatian serius terhadap dapatan ini dan akan menjadikannya asas tindakan mitigasi awal bersama JBPM; JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran); Jabatan Kerja Raya (JKR); Pejabat Daerah dan agensi keselamatan lain.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meluangkan masa melakukan pemantauan udara ke beberapa lokasi hotspot risiko bencana di seluruh negeri. Foto Ihsan PEJABAT MB PERAK.

“Pendekatan sinergi dan kesiapsiagaan bersepadu akan diperkukuh bagi memastikan pelan tindak balas kecemasan dapat digerakkan dengan pantas dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Saarani turut menyeru rakyat Perak agar sentiasa berwaspada dan peka terhadap amaran cuaca khususnya di kawasan berhampiran sungai, tanah tinggi dan kawasan rekreasi air terjun.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan aktiviti di kawasan berisiko tinggi ketika hujan lebat serta segera melaporkan tanda-tanda awal kejadian kepada pihak berkuasa,” katanya.

Terdahulu Saarani meluangkan masa melakukan pemantauan udara ke beberapa lokasi hotspot risiko bencana di seluruh negeri bagi menilai kesiapsiagaan agensi dan mengenal pasti kawasan berpotensi tinggi berlakunya bencana.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meluangkan masa melakukan pemantauan udara ke beberapa lokasi hotspot risiko bencana di seluruh negeri. Foto Ihsan PEJABAT MB PERAK.

Tinjauan itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zaki Mahyudin.

Menurut Saarani pemantau yang dijalankan bersama JBPM Perak itu melibatkan 15 lokasi utama di beberapa daerah termasuk Kinta, Larut Matang dan Selama, Manjung, Kerian, Lenggong, Changkat Jering dan Kampar.

Beliau berkata, antara kawasan berisiko yang dikenal pasti ialah Ulu Chepor, Kledang Saiong, Air Terjun Bukit Jana, Gunung Semanggol, Tasek Bukit Merah dan Kuak Hill Resort, Lenggong.

“Lawatan ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri memperkukuh langkah pencegahan bencana melalui koordinasi antara agensi, seiring dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang menekankan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.

“Kerajaan Negeri akan terus menambah baik pelan pengurusan bencana negeri, termasuk pemetaan risiko, sistem amaran awal dan penyediaan logistik sokongan bagi membantu rakyat di kawasan berisiko,” katanya. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI