Perak sedia kertas kerja naik taraf JRTB, Hospital Gerik – MB

IPOH – Kerajaan Perak akan menyediakan dua kertas kerja berhubung cadangan untuk menambah baik laluan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli termasuk mempertimbangkan menaik taraf Hospital Gerik kepada kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Mingguan Exco pada Rabu.

Menurutnya, dua Exco akan terlibat secara langsung dalam penyediaan kertas kerja tersebut iaitu yang Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam (INTAP) Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin INTAP dan Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan.

“Kita dimaklumkan bahawa lebuh raya itu sebenarnya telah tamat tempoh konsesi itu iaitu 40 tahun dan sudah tiba masanya (JRTB) untuk dikaji semula, dilihat.

“Sebab harus diingat, ia dibina di zaman Almarhum Tun Abdul Razak bertujuan untuk mengekang kemasukan komunis daripada Thailand ke negeri Pahang. Masa jalan itu dibuat keadaannya berbeza, tak ada konkrit dan sebagainya.

“Jadi, sudah tiba masanya untuk dilihat semula tentang jajaran dan juga jalan tersebut. Ini kerana sebahagiannya memang surah nampak dasar, nampak tanah, tidak boleh tampal.

“Dia kena dilihat secara keseluruhannya. Sebab itu kita minta Datuk Seri Nizar menyediakan senarai apa yang perlu dibuat dari segi jajaran dari segi pelebaran dari segi bahan binaan dan semua perkembangan termasuklah lampu jalan, garisan putih,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Hari Eksport Perak 2025 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Saarani berkata, dalam mesyuarat tersebut, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed turut membangkitkan isu kekerapan kemalangan di laluan tersebut yang menimbulkan keperluan untuk menaik taraf Hospital Gerik.

Katanya, Sivanesan akan menyediakan kertas kerja bagi membolehkan permohonan dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan berhubung perkara itu.

“Kekerapan (kemalangan) itu menjadikan Hospital Gerik tidak cukup untuk menampung kalau jumlahnya terlampau ramai. Hospital itu memerlukan pertama, hospital baru, yang kedua pakar, yang ketiga fasiliti dan kelengkapan,” ujarnya.

Saarani berkata, dalam mesyuarat itu terdapat juga cadangan supaya diwujudkan kemudahan jabatan kerajaan seperti balai polis atau bomba di lokasi strategik sepanjang laluan tersebut bagi mempercepatkan masa tindak balas ketika kecemasan.

Tambahnya, semua cadangan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka hadir ke Program MADANI Rakyat di Lumut pada 15 Jun ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Isnin lalu, 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disahkan maut manakala 27 lagi cedera dalam nahas di Kilometer 53, JRTB Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, Gerik. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Nahas pelajar UPSI: Polis rekod keterangan 18 individu

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI