IPOH – Kerajaan Negeri Perak bersedia untuk mempertimbangkan permohonan mana-mana pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengurangkan kadar jenayah setempat.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada beberapa aspek penilaian termasuk lokasi dan keperluan pemasangan CCTV berkenaan.
“Pemasangan CCTV bergantung kepada keperluan lokasi sesuai dan kemampuan kewangan bagi premis yang berkenaan.
“Bagi mana-mana yang memerlukan peruntukan daripada kerajaan negeri termasuk PBT, kita akan cuba usahakan. Namun ia bergantung kepada keperluan di lokasi (yang dipohon untuk pemasangan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Salina Samsudin (BN-Behrang) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.
Salina bertanyakan kepada Saarani (BN-Kota Tampan) tentang usaha kerajaan negeri memanfaatkan teknologi seperti melalui penggunaan CCTV atau aplikasi pintar dalam mengurangkan kadar jenayah, khususnya di Behrang.
Kata beliau, ini kerana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang sedang mengalami peningkatan bilangan populasi.
Terdahulu ketika menjawab soalan lisan daripada Salina, Saarani berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama dengan jawatankuasa taman-taman perumahan, dan jawatankuasa kampung dalam usaha menurunkan kadar jenayah di Behrang.
Jelas beliau, antara usaha yang diambil pihak PDRM adalah melalui kekerapan penugasan rondaan di kawasan perumahan dan kampung di DUN berkenaan.
Saarani berkata, turut dilakukan adalah sekatan jalan raya pada musim perayaan serta kerjasama antara anggota dan masyarakat setempat dalam usaha memperoleh maklumat untuk mengekang kegiatan jenayah.
“Hasil daripada rondaan dan perancangan yang teliti ini, kadar jenayah indeks berjaya diturunkan sebanyak dua kes, iaitu daripada 15 kes pada tahun 2023 kepada 13 kes bagi tempoh yang sama pada tahun ini,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: