SUNGAI SIPUT – Kerajaan Negeri Perak akan menyediakan kawasan tambahan bagi usahawan tani yang berhasrat untuk memperluaskan tanaman mereka sebagai langkah memperkukuh sektor pertanian dan menjamin kelestarian sekuriti makanan negeri.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Zolkafly Harun berkata, usahawan tani boleh merujuk kepada pegawai daerah atau ketua penolong pegawai daerah di kawasan masing-masing untuk mendapatkan maklumat dan bantuan yang sewajarnya.
“Sebenarnya ada tanah-tanah yang kita telah reserve untuk sekuriti makanan di setiap daerah dalam negeri Perak. Jadi mereka boleh berurusan dengan tuan pegawai daerah ataupun ketua penolong pegawai daerah.
“Pihak kerajaan negeri bersedia membantu usahawan tani ini dari segi penambahan ataupun pemilikan tanah sama ada secara Lesen Menduduki Sementara (TOL) dan sebagainya.
“Ini sebagai satu komitmen kerajaan negeri bagi menggalakkan usahawan tani untuk memperluaskan tanaman mereka bagi memenuhi bekalan makanan di dalam dan luar Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Peralatan Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) bagi Tahun 2025 di Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) Kampung Tersusun Kledang Utama, di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan dan Operasi) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Shahrizan Sudiman dan Pengarah FAMA Perak, Azleena Zainal Abidin.
Katanya, inisiatif ini menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dan berdaya saing untuk keperluan rakyat.
Tambahnya, penambahan kawasan bagi tujuan pertanian itu juga secara tidak langsung dapat memperkukuh rantaian pengeluaran makanan tempatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sekuriti Makanan: Sembilan masjid Perak laksana inisiatif tanaman betik