GERIK – Selain Johor, Perak merupakan negeri yang mempunyai peruntukan khas kepada agensi Persekutuan dalam usaha membasmi penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kerajaan negeri menyalurkan RM200,000 kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi Program Menangani Penyalahgunaan Dadah pada tahun ini.
Menurutnya, inisiatif itu membuktikan keseriusan Kerajaan Perak dalam usaha berterusan membasmi gejala penyalahgunaan dadah di negeri ini.
“Isu membanteras penyalahgunaan dadah yang tiada noktah ini melibatkan usaha semua pihak, baik daripada peringkat kepimpinan negeri, ketua-ketua jabatan, sehingga ke anggota masyarakat.
“Dan peruntukan yang disalurkan kerajaan ini menunjukkan peri pentingnya ia dapat ditangani secara bersama. Ini kerana jika tidak, ia dikhuatiri akan memberi kesan negatif kepada pembangunan sosial dan masyarakat itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Training of Trainers Community Empowerment anjuran AADK Hulu Perak di Dewan Mahkamah Syariah Gerik, pada Selasa.
Hadir sama, Ketua AADK Hulu Perak, Mohamad Hafiz Mohd Idris serta Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood.
Mengulas lanjut Salbiah berkata, di sebalik usaha itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam memastikan golongan muda terutama anak-anak bebas daripada sebarang pengaruh negatif berkaitan dadah.
Kata beliau, mereka harus lebih cakna terhadap perkembangan anak-anak dan trend penyalahgunaan dadah sama ada melibatkan dadah tradisional mahupun dadah sintetik atau dadah tiruan yang diproses.
“Dalam setiap program yang dianjurkan AADK, sudah semestinya mereka akan membuat pameran berkaitan jenis-jenis dadah ini, antara lain sebagai usaha memberi pendadahan terkini kepada ibu bapa.
“Ini kerana, adakala mereka ini tahu tentang jenis-jenis objek yang mengkhayalkan. Misalnya, ada kes anak membawa air ketum ke sekolah, yang pada luaran dilihat seperti air teh biasa.
“Oleh itu, sekiranya ibu bapa ini terus diberi pendahan, sekurang-kurangnya mereka lebih cakna dan dapat membendung isu penyalahgunaan dadah dalam masyarakat dengan lebih awal,” ujarnya.
Pada masa sama, Salbiah juga meminta agar setiap keluarga dapat menangkis stigma negatif pihak luar sekiranya mendapati unsur penyalahgunaan bahan terlarang itu berlaku dalam kalangan ahli keluarga mereka.
Jelas beliau, agensi kerajaan seperti AADK dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia untuk membantu mereka yang berhadapan dengan masalah terutama berkaitan dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Rakyat Malaysia ditahan edar dadah bernilai RM120,000 di Sungai Golok