Perak serius perkukuh perundangan syariah, bakal dibawa ke MKI

IPOH – Kerajaan Negeri Perak serius dalam usaha memperkukuh institusi Mahkamah Syariah termasuk aspek perundangan syariah agar peranannya dapat terus diperluaskan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif berkenaan sedang dilaksanakan melalui sebuah jawatankuasa yang dipengerusikannya sendiri sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk pertimbangan lanjut.

“Memang ada perancangan dan hasrat kerajaan negeri untuk memperkasakan Mahkamah Syariah serta memperkukuhkan undang-undang berkaitan.

“Proses ini sedang berjalan dan saya sendiri mengetuai mesyuarat jawatankuasa yang menguruskan perkara tersebut.

“Namun, perinciannya belum dapat diumumkan kerana ia perlu melalui proses panjang termasuk dibentangkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI),” katanya.

Perundangan Syariah Perak Saarani institusi Mahkamah Syariah, Saarani Mohamad, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Mahkamah Syariah Malaysia, pindaan undang-undang syariah Perak, penggubalan hukum syariah
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima ketika hadir ke Majlis Penutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 JUN 2025.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh, dekat sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof serta Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, MKI yang dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah merupakan badan tertinggi dalam hal ehwal agama Islam di peringkat kebangsaan dan sebarang cadangan berkaitan akan dikemukakan kepada majlis itu terlebih dahulu.

“Apabila sudah sampai ke MKI, barulah proses seterusnya dibawa ke Majlis Raja-Raja. Selepas semua proses ini lengkap, barulah kita boleh mendedahkan butiran lanjut kepada umum,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Pihak Berkuasa Agama Negeri sedang menggerakkan inisiatif memperkasakan sistem perundangan Syariah di Perak dengan memberi tumpuan kepada perluasan bidang kuasa serta hukuman.

Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor dilaporkan berkata, langkah itu bagi memastikan pelaksanaan undang-undang Islam yang lebih berkesan dan menyeluruh.

Antara usaha yang sedang diteliti termasuk memasukkan peruntukan berkaitan Mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak dalam usaha perkasa sistem perundangan syariah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI