IPOH – Kerajaan Negeri Perak bersetuju dengan cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya kerajaan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penyelewengan unsur nadir bumi (REE) daripada berulang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini SOP yang sedia ada cuma menggariskan kaedah dan cara-cara untuk mencari gali bahan mineral itu sahaja.
Menurutnya, SOP tersebut perlu melibatkan kriteria berkaitan, kredibiliti dan pengalaman sesebuah syarikat dalam mengurus tadbir pengeluaran REE.
“Saya setuju sangat (cadangan SOP). Sebarang langkah yang boleh mengelakkan berlakunya ketirisan hasil negeri dan juga berlakunya peluang orang untuk mencuri, ia baik untuk kerajaan negeri.
“SOP yang ada sekarang ini hanya menggariskan kaedah dan cara-cara untuk mencari gali, itu sahaja.
“Sebab itu, kita minta kerajaan Persekutuan buat SOP supaya mewujudkan kriteria-kriteria sesuai terhadap syarikat yang ingin mengusahakan bahan mineral tersebut.
“Sekurang-kurangnya syarikat itu mungkin ada seorang jurutera, ahli kimia, contoh itu kita nak SOP dibuat.
“Kalau ada mana-mana syarikat yang nak masuk untuk menggali atau mengusaha hasilkan REE ini kita tak boleh meluluskan sewenang-wenangnya melainkan dia (syarikat) ada sijil atau kriteria yang dipatuhi yang ada daripada SOP itu.
“Ini kerana ia melibatkan proses cari gali mengekstrak kemudian memprosesnya dan dia adalah benda yang kena dibuat secara bersungguh-sungguh berintegriti kerana ia melibatkan keselamatan,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis makan malam sempena Sambutan Ulangtahun ke-56 Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Perak di Hotel Casuarina@Meru di sini, malam tadi.
Sebelum ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata SPRM mencadangkan kerajaan negeri dan Persekutuan mewujudkan SOP khusus berhubung penguatkuasaan dan pengeluaran REE.
Katanya, sekiranya SOP tersebut tidak dilaksanakan, ia memudahkan pihak tidak bertanggungjawab untuk melombong tanpa kebenaran atau mencuri hasil REE.
Disebabkan itu, Azam berkata perlu ada SOP yang jelas terutamanya membabitkan laporan penilaian alam sekeliling (EIA). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak kolaborasi dengan syarikat tempatan proses hasil nadir bumi