IPOH – Kerajaan Perak sedang bersiap siaga menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka melanda negeri ini bermula 8 hingga 14 Disember, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut beliau, ia ekoran taburan hujan yang tinggi dijangka berlaku di daerah Hulu Perak yang merupakan kawasan tadahan air.
Jelas Saarani, pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada Pegawai Daerah Hulu Perak melakukan persiapan yang sewajarnya bagi menghadapi situasi berkenaan.
“Jika hujan lebat berlaku di Hulu Perak iaitu di Temenggor, Royal Belum, sudah tentu Sungai Perak akan dilimpahi air.
“Ini kerana mahu atau tidak empangan akan melepaskan air secara berperingkat dan ia boleh menyebabkan berlakunya banjir disepanjang Sungai Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Tourism Perak Management Berhad dengan Rimba Adventures Sdn Bhd bagi penganjuran di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.
Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan negeri akan menghantar pasukan bagi membantu mangsa banjir di Pantai Timur, Saarani berkata tumpuan akan diberikan kepada Perak dalam menghadapi gelombang kedua berkenaan.
Beliau berkata, ia ekoran beberapa organisasi politik dan sukarelawan dari negeri ini telah menghulur bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur.
“Buat sementara ini ada NGO yang pergi termasuklah parti politik seperti Wanita UMNO, belia, di mana mereka ke Johor, Kelantan dan Terengganu,” katanya.
Luruan angin sejuk atau luruan monsun yang dijangka melanda pada 8 hingga 14 Disember ini berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir di negeri Pantai Timur Semenanjung.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata hujan lebat berterusan dalam tempoh berkenaan juga berpotensi melanda Sarawak dan Sabah selain negeri-negeri di barat Semenanjung.
Ia ekoran intensiti luruan adalah kuat selain luruan monsun akan turut menyebabkan angin kencang dan keadaan laut bergelora di Laut China Selatan. -MG Perak
Artikel Berkaitan: