Perak sokong pindaan akta lindungi kanak-kanak diabai ibu bapa

TELUK INTAN – Perak menyambut baik cadangan untuk meneliti dan meminda beberapa peruntukan undang-undang sedia ada bagi memperkukuh tanggungjawab ibu bapa dan penjaga dalam usaha mencegah penderaan serta pengabaian kanak-kanak.

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, terdapat keperluan untuk mewujudkan kewajipan yang lebih jelas kepada ibu bapa dalam aspek penjagaan anak, selari dengan realiti sosial dan budaya setempat.

Menurutnya, memang tidak dinafikan ada kes-kes pengabaian kanak-kanak oleh ibu bapa yang tidak boleh diambil tindakan kerana terdapat kelompongan dalam undang-undang sedia ada.

Selain itu, beliau turut memberi contoh situasi di negara luar di mana ibu bapa dikenakan tindakan undang-undang kerana mendidik anak-anak mengikut kepercayaan agama, sesuatu yang menurutnya perlu dielakkan di Malaysia.

“Justeru, dengan penilaian semula terhadap akta-akta yang bersesuaian, saya menyambut baik supaya isu tanggungjawab ibu bapa dapat ditekankan.

“Bagaimanapun, sebarang pindaan perlu mengambil kira kesesuaian budaya tempatan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Kontena Produk Syarikat Ameen Products Sdn Bhd ke negara Mali, Afrika di Taman Perindustrian Ringan di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli; Pegawai Daerah Hilir Perak, Mufidah Mahfodz; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan, Zairul Akmal Kasim dan Pengarah Urusan Ameen Products Sdn Bhd, Muhammed Irfan Amanulla Khan.

Dalam perkembangan sama, Salbiah memaklumkan bahawa kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak di negeri Perak masih berada pada tahap terkawal.

“Kadang-kadang kita terima kes demi kes, tetapi masih dalam kawalan. Sekiranya satu isu yang kita terima, kita terus mengambil tindakan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) bagi memastikan anak-anak yang terabai itu dapat berada dalam perlindungan yang selamat,“ ujarnya.

Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, kerajaan sedang meneliti semula beberapa peruntukan undang-undang sedia ada untuk memperkenalkan kewajipan yang lebih jelas kepada ibu bapa dan penjaga dalam usaha mencegah penderaan dan pengantunan kanak-kanak.

Peruntukan tersebut termasuk cadangan pindaan yang mewajibkan pemantauan tingkah laku dalam talian anak-anak serta penyertaan aktif dalam program kesedaran dan pendidikan keselamatan digital. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Guru tadika direman disyaki dera kanak-kanak guna pen

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI