IPOH – Kerajaan Perak menambah enam lagi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) baharu menjadikan jumlah keseluruhan pusat berkenaan sebanyak 18 buah di negeri ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, antara lokasi penambahan PAWE itu adalah di Gerik, Lenggong, Beruas dan Sungkai.
Menurutnya, penubuhan PAWE adalah bagi memberi peluang kepada golongan warga emas untuk meningkatkan kesejahteraan hidup menerusi pelbagai aktiviti dijalankan di pusat aktiviti berkenaan.
“Kewujudan PAWE telah memberi impak positif dalam membantu kita meningkatkan keaktifan warga emas untuk bersama dengan komuniti, masyarakat melalui program yang mereka aturkan seperti program kesihatan, riadah serta program peningkatan ekonomi.
“Menerusi PAWE kita turut mengadakan program dengan memberi latihan kerana kita nampak warga emas yang masih produktif, masih boleh menyumbang kepada pembangunan negeri Perak.
“Bahkan ada sebahagian PAWE yang dapat menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomu melalui aktiviti yang mereka lakukan,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Program Sejahtera Warga Emas Peringkat Negeri Perak 2024 di Galasa Caldwell, di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin dan Pengarah Seketariat Pembangunan Wanita Perak, Jamilah Zakaria.
Dalam pada itu, Salbiah berkata, kerajaan negeri dalam usaha memperluas kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi meningkatkan infrastruktur penjagaan seperti pusat jagaan harian, pusat komuniti mesra warga emas dan perkhidmatan sokongan penjaga.
“Antara inisiatif dilakukan adalah dengan menganjurkan bengkel Ekonomi Penjagaan yang menyediakan latihan dan pembangunan kemahiran tenaga kerja dalam bidang penjagaan.
“Bengkel ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam memperkukuh Pelan Perak Sejahtera 2030, di mana Ekonomi Penjagaan dijadikan satu komponen penting dalam meningkatkan kesejahteraan sosial dan ekonomi rakyat.
“Dengan menyokong sektor ini, kerajaan bukan sahaja dapat memastikan rakyat yang memerlukan penjagaan mendapat perkhidmatan terbaik, tetapi membuka ruang untuk menjadikan penjagaan sebagai kerjaya profesional yang dihargai,” ujarnya.
Pada program tersebut, beliau turut melancarkan Program Sanjung Negeri Perak kolaborasi antara kerajaan negeri bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) iaitu Hotel Casuarina@Meru.
Melalui program ini, warga emas berpeluang menikmati percutian berkualiti di hotel tersebut dengan harga yang mesra bajet iaitu RM180 semalam dan diskaun 15 peratus untuk hidangan ala carte di kafe hotel. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak hasrat wujudkan sistem penarafan bangunan mesra warga emas