IPOH – Bantuan Khas Kewangan (BKK) Perak diperluaskan kepada guru tadika Islam, guru Aiman dan guru agama dakwah yang ditadbir urus oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada kadar RM400.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pegawai dan kakitangan berstatus lantikan kontrak (CFS) turut menerima BKK pada kadar dua bulan gaji.
“Selain itu, Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di bawah tanggungan kerajaan negeri juga menerima BKK dengan kadar dua bulan gaji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Pada Selasa lalu, Saarani mengumumkan pemberian sebanyak dua bulan gaji kepada semua penjawat awam di negeri ini.
Menurutnya, bantuan itu adalah sebagai penghargaan kepada mereka dalam memastikan kelangsungan pentadbiran dan kejayaan dasar negeri.
“BKK tersebut meliputi semua penjawat awam negeri termasuk Ahli Ex-Officio, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), guru lantikan negeri yang dilantik melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Perak, Orang Besar Jajahan serta kakitangan di bawah kontrak Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MySTEP).
“Pemberian BKK ini pada kadar RM600 turut diberikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan India serta Tok Batin Kampung Orang Asli,” katanya sewaktu membentangkan Belanjawan Perak 2026.
Selain itu, Saarani berkata, BKK turut dipanjangkan kepada guru KAFA, guru I’dadi dan Thanawi pada kadar RM400 dan kesemua BKK ini akan diberikan pada Disember 2025 kecuali Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula pada Januari 2026. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


