Perak tekad mahu jadi Koridor TVET Negara

IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan terus memberi tumpuan dan memacu usaha memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pada tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia merupakan sebahagian daripada komponen utama dalam agenda pembangunan negeri, di samping membudayakan teknologi dan inovasi.

Katanya, TVET bukan sekadar mencipta pekerja mahir, sebaliknya ia adalah medan bagi melahirkan inovator, pemimpin, dan usahawan yang menjadi pemacu perubahan teknologi serta ekonomi.

Perak negeri TVET negara teknologi kerajaan Saarani Koridor TVET Negara usahawan tumpuan
Suasana sekitar Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2025 di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 JANUARI 2025.

“Atas kepercayaan itu, Kerajaan Negeri Perak bertekad menjadikan negeri ini sebagai Koridor TVET Negara.

“Dengan ekosistem pendidikan teknikal yang menyeluruh, Perak sedang melangkah ke hadapan untuk muncul sebagai pusat kecemerlangan TVET, bukan hanya untuk keperluan tempatan, tetapi juga sebagai rujukan nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Executive Talk Dan Perutusan Tahun Baru 2025 Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, dekat sini, pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, barisan Exco Kerajaan Negeri, wakil rakyat serta lebih 700 penjawat awam negeri dan Persekutuan.

Tambah Saarani, beberapa projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan di negeri ini menjadi platform penting untuk graduan TVET di Perak mempamerkan kebolehan dan kemampuan mereka.

Perak negeri TVET negara teknologi kerajaan Saarani Koridor TVET Negara usahawan tumpuan
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir ke Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2025 di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, pada Khamis. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 JANUARI 2025.

Kata beliau, antara projek berkenaan termasuk Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) serta Silver Valley Technology Park (SVTP).

Justeru Saarani berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan Program Jelajah TVET pada tahun ini sebagai memberi kesedaran kepada generasi muda bahawa TVET bukan pilihan kelas kedua, sebaliknya ia adalah laluan utama untuk masa depan yang cerah.

Pada masa sama beliau memberitahu, selain daripada TVET, kerajaan negeri juga memberi perhatian kepada usaha membudayakan teknologi dan inovasi dalam pelbagai sektor.

Jelas Menteri Besar, dalam ke arah itu kerajaan negeri menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memanfaatkan teknologi dalam meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Transformasi Digital Negeri Perak telah mempercepatkan akses teknologi kepada rakyat, dengan liputan internet mudah alih kini mencapai 99.6 peratus dan lebih 700,000 premis dilengkapi gentian optik.

“Teknologi bukan sekadar alat tetapi pemacu perubahan. Kita mahu teknologi ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar.

“Perak harus dikenali sebagai negeri yang bukan sahaja indah, tetapi juga maju dari segi inovasi dan kecanggihan teknologinya,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak mohon RM10 juta, perkasakan lagi TVET tahun hadapan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI