KUALA KANGSAR – Kerajaan Negeri Perak sedang meneliti cadangan penjadualan semula sistem bekalan air bagi pengairan sawah padi di Daerah Kerian susulan masalah penyusutan Empangan Kolam Bukit Merah ekoran cuaca kering yang berlaku hampir setiap tahun.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, ini kerana situasi semasa telah menjejaskan penyediaan bekalan air yang mencukupi kepada pesawah di kawasan berkenaan.
Katanya, langkah penjadualan semula bagi pengairan sawah itu bagaimanapun akan dilakukan berdasarkan kapasiti semasa kolam berkenaan bagi memastikan bekalan air dapat diagih secara adil dan terancang.
“Memang perkara ini dalam perhatian kita kerana kita lihat masalah kekurangan air di Kolam Bukit Merah agak teruk (pada ketika cuaca kering).
“Sekiranya, kita tidak dapat buat melakukan penjadualan semula pengairan (untuk sawah), mungkin sebahagian pesawah tidak akan dapat bekalan air yang mencukupi.
“Oleh itu, jika kita dapat menyusun semula jadual tanaman dan pengairan mengikut kapasiti air yang ada, saya yakin masalah ini boleh diatasi, jika bukan 100 peratus, sekurang-kurangnya selesai 80 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Pertanian Bandar Jabatan Pertanian Negeri Perak di Institut Kemajuan Pekebun Kecil (IKPK), dekat sini, pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pertanian (Pengembangan) Negeri Perak, Shahril Sabri.
Pada masa sama Mohd Zolkafly berkata, ketika ini kerajaan negeri belum menerima sebarang aduan atau memorandum rasmi daripada pesawah berkenaan cadangan penjadualan semula itu.
Walau bagaimanapun beliau berkata, perbincangan berhubung perkara sama sudah dilakukan antara pihak berkepentingan termasuk Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Jabatan Pertanian.
Dalam pada itu Mohd Zolkafly memberitahu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut digesa untuk melaksanakan operasi pembenihan awan bagi meningkatkan taburan hujan di kawasan yang terjejas.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut memberi tumpuan serius bagi pelaksanaan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Kolam Bukit Merah sebagai penyelesaian jangka panjang.
“Baru-baru ini, Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad) juga sudah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof – Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air) agar pelaksanaan pemindahan air ini boleh disegerakan,” jelas beliau.
Media sebelum ini melaporkan petani di Kerian meminta agar pihak berwajib untuk menyemak semula jadual pelepasan air antara kawasan Semanggol dan Kawasan Parit Haji Ali Beriah.
Cadangan itu diutarakan selepas kawasan berkenaan mengalami enam musim berturut-turut tanpa hasil padi yang memuaskan akibat kekurangan bekalan air.
Situasi di Kolam Bukit Merah, Bagan Serai terus membimbangkan apabila paras air dilaporkan menyusut dengan ketara susulan cuaca kering berpanjangan yang melanda negara sejak Mei lalu.
Menurut makluman rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak pada Rabu, paras air semasa mencatat bacaan 6.020 meter (19.75 kaki) yang mana bekalan air ke sawah padi akan dihentikan sementara waktu bagi memberi laluan kepada bekalan air mentah. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Empangan Bukit Merah susut: JPS mohon laksana Pembenihan Awan