IPOH – Perak telah menerima kelulusan semula permit eksport (AP) daripada Persekutuan bagi mengeksport lambakan stok Rare Earth Carbonate (REC) menerusi projek perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Kenering, Gerik.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kelulusan itu diterima pada 26 September lalu selepas Persekutuan melarang pengeksportan bahan mineral itu bermula 1 Januari tahun ini.
Katanya, larangan itu sebelum ini telah menyebabkan lambakan REC yang diekstrak di kawasan berkenaan tidak dapat dieksport keluar serta menyebabkan royalti eksport stok berkenaan tergendala sementara.
“Kerajaan negeri telah merangka proaktif jangka masa panjang melalui pembangunan Loji Pemprosesan Pusat (Central Processing Plant-CPP) secara bukti konsep (proof of concept – POC)
“Ia bagi menyahut seruan Persekutuan agar sumber hasil baharu ini mengalami proses tambah nilai di dalam negara dan tidak hanya bergantung kepada pengeskportan bahan mentah semata-mata.
“Langkah ini dibuat berikutan pendirian negara China yang melarang sebarang pemindahan pengetahuan dan teknologi berkaitan pengasingan REE kepada negara luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menggulung perbahasan Belanjawan Negeri Perak 2025 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.
Jelas Saarani (BN-Kota Tampan), CPP POC itu dibangunkan menerusi kerjasama antara Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) bersama sebuah syarikat kepakaran tempatan.
Tambah beliau lagi, ia juga berpotensi untuk menjadi faktor perubahan terhadap pengembangan industri pertengahan dan industri hiliran NR-REE di Perak.
Kata Saarani, hal itu secara tidak langsung menarik prospek pelaburan dari negara luar untuk melabur dalam Perak, serta mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada China dalam industri tersebut.
Dalam pada itu beliau memberitahu, projek perlombongan mineral itu NR-REE telah menghasilkan jumlah eksport yang dianggarkan sebanyak 13,103 tan metrik bahan mentah NR-REE ke China, dalam tempoh antara Februari 2023 sehingga April tahun ini.
“Prestasi cemerlang ini telah menjana pendapatan bernilai RM257.358 juta, dengan pulangan royalti sebanyak RM45.878 juta kepada kerajaan negeri,” jelas beliau.
Menurut Saarani, kerajaan negeri telah memohon kepada Kementerian Kewangan peruntukan dana RM20 juta bagi menjalankan eksplorasi terperinci untuk menentusahkan rizab sebenar deposit NR-REE baharu yang boleh diterokai. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak terima royalti RM30.88 juta hasil eksport REC ke China