Perak terus berkembang sebagai hab penting industri mineral negara

DALAM konteks global hari ini, industri mineral bukan lagi berdiri secara terasing malah ia menjadi tunjang kepada rantaian bekalan dunia yang menyokong pelbagai sektor teknologi.

Salah satunya adalah timah yang memainkan peranan penting dalam pembuatan komponen elektronik, termasuk dalam sektor kenderaan elektrik dan teknologi kecerdasan buatan.

Permintaan dunia terhadap timah kekal tinggi, dengan penggunaan melebihi 350,000 tan setahun, didorong oleh perkembangan pesat dalam industri elektronik, tenaga boleh baharu dan teknologi moden.

Dalam konteks ini, Perak berada pada kedudukan yang strategik bukan sahaja sebagai pengeluar bahan mentah, tetapi sebagai pemain penting dalam rantaian nilai industri yang lebih luas.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam ucapannya pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kilang Peleburan Bijih Timah Rahman Hydraulic Tin (RHT) Sdn Bhd di Pengkalan Hulu, baru-baru ini berkata, Perak bukan negeri yang asing dengan industri bijih timah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kilang Peleburan Bijih Timah Rahman Hydraulic Tin (RHT) Sdn Bhd di Pengkalan Hulu, baru-baru ini. Foto, PEJABAT MB PERAK.

Jelas Beliau, sejarah negeri ini terbina daripada keringat dan usaha generasi terdahulu yang menjadikan sektor perlombongan sebagai nadi kehidupan.

“Dari Lembah Kinta sehinggalah ke Klian Intan di Pengkalan Hulu, industri ini bukan sahaja membentuk ekonomi, malah membina wajah dan jiwa masyarakatnya.

“Di Klian Intan khususnya, perlombongan telah melahirkan sebuah komuniti yang hidup dengan kepelbagaian latar belakang, budaya dan pengalaman dan di sinilah kehidupan dibina, keluarga dibesarkan, dan harapan disemai dari satu generasi ke satu generasi,” katanya.

Tambah Saarani, perlombongan bijih timah bukanlah sekadar sejarah yang diimbau sebaliknya kita juga menyambung legasi itu dalam bentuk yang lebih moden, lebih tersusun dan lebih bermaruah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kilang Peleburan Bijih Timah Rahman Hydraulic Tin (RHT) Sdn Bhd di Pengkalan Hulu, baru-baru ini. Foto, PEJABAT MB PERAK.

Pembinaan kilang peleburan bijih timah di Pengkalan Hulu ini juga mencerminkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan Perak di bawah pimpinan Saarani untuk terus berkembang sebagai antara hab penting industri mineral negara.

Bahkan, lebih penting daripada itu, pelaburan ini bukan semata-mata pembinaan sebuah kilang kerana ia juga membina peluang, membuka ruang rezeki, dan memberi harapan baharu kepada rakyat, khususnya di Pengkalan Hulu.

Justeru itu, pelaburan berkenaan juga membuka ruang kepada Perak untuk bergerak lebih jauh daripada perlombongan kepada pemprosesan, dan seterusnya kepada industri hiliran yang lebih bernilai tinggi.

Kerana itulah, Saarani dalam ucapannya pada majlis sama berkata, untuk memastikan kerajaan negeri benar-benar memanfaatkan peluang ini, kekuatan paling utama yang perlu dibina ialah tenaga kerja.

Beliau berkata, tanpa tenaga kerja yang berkualiti, peluang yang besar seperti ini terutamanya di kawasan Pengkalan Hulu tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kilang Peleburan Bijih Timah Rahman Hydraulic Tin (RHT) Sdn Bhd di Pengkalan Hulu, baru-baru ini. Foto, PEJABAT MB PERAK.

“Pendekatan ini selari dengan usaha berterusan untuk membangunkan Perak sebagai Koridor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara, sebagaimana yang digariskan dalam kerangka Perak Sejahtera 2030.

“Kerjasama erat antara industri dan institusi latihan amat penting supaya lebih ramai anak muda tempatan dapat mengisi peluang pekerjaan yang diwujudkan bukan sekadar sebagai pekerja, tetapi sebagai tenaga mahir yang membina masa depan negeri ini.

“Dengan pendekatan yang tersusun, kita membuka ruang kepada generasi muda untuk membina kehidupan yang lebih stabil, lebih bermaruah dan lebih berdaya saing,” katanya.

Untuk rekod operasi Rahman Hydraulic Tin melibatkan lebih 1,000 pekerja dan majoritinya terdiri daripada rakyat tempatan dan ini bermakna, pembangunan yang dilaksanakan benar-benar menyentuh kehidupan masyarakat secara langsung. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI