HBP diteruskan demi rakyat meskipun kehadiran ‘merosot’ – MB

IPOH – Meskipun kehadiran orang ramai ‘merosot’, namun penganjuran Hari Bertemu Pelanggan (HBP) tetap diteruskan sebagai komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam mendekati rakyat dan menyelesaikan permasalahan mereka secara langsung.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program HBP kali ini di Stadium Indera Mulia menyaksikan kehadiran kurang memberangsangkan, sama seperti sesi sebelumnya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong.

“Menariknya, dua kali berturut-turut kehadiran agak merosot. Ketika di Lenggong, kehadiran orang tempatan juga rendah, walaupun hebahan telah dibuat.

“Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri (SS) sempat bergurau dengan menyatakan mungkin Lenggong sudah mencapai status ‘Lenggong Sejahtera 2025’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Kelima Tahun 2025 di Stadium Indera Mulia, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Beliau berkata, situasi itu menunjukkan bahawa pelbagai aduan dan permintaan rakyat telah berjaya diselesaikan.

Perak teruskan HBP demi rakyat meskipun kehadiran 'merosot'
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sesi sidang media pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Kelima Tahun 2025 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 JULAI 2025.

“Alhamdulillah, mungkin juga ramai yang ada komitmen lain, atau aduan mereka sebelum ini telah berjaya diselesaikan.

“Maka, tidak ramai yang datang, namun, kita tetap teruskan program ini kerana ia merupakan salah satu kaedah penting bagi kerajaan negeri menyelesaikan masalah rakyat,” ujarnya.

Katanya, sebelum ini rakyat sering mengadu sukar untuk bertemu dengan Menteri Besar, Exco, mahupun Setiausaha Kerajaan Negeri disebabkan kekangan jadual yang melibatkan urusan rasmi di luar negeri seperti ke Putrajaya atau Kuala Lumpur.

“Kadangkala apabila kita sudah berjanji dengan rakyat, kita terpaksa batalkan kerana ada mesyuarat di luar Ipoh. Maka, HBP ini menjadi peluang tetap setiap bulan supaya rakyat tahu bila dan di mana mereka boleh datang untuk bertemu kita secara langsung,” jelasnya.

Tambahnya, program ini menghimpunkan pelbagai pegawai tertinggi negeri termasuk Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, kesemua 10 Exco, ketua-ketua jabatan, pegawai daerah serta agensi-agensi berkaitan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Perbadanan Menteri Besar Perak (MBInc) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, sebanyak 103 aduan telah diterima sepanjang program kali ini melibatkan pelbagai isu rakyat.

“Sehingga siri keempat HBP, sejumlah 441 aduan telah direkodkan, dengan 391 aduan atau 89 peratus telah berjaya diselesaikan, manakala baki 50 aduan (11 peratus) masih dalam tindakan agensi berkaitan.

“Ada yang datang kata bulan lepas sudah jumpa, tapi masalah mereka belum selesai. Ini kerana sesetengah aduan melibatkan pelbagai jabatan dan perlu tindakan bersama,” jelasnya.

Program kali ini turut menghimpunkan 96 kaunter perkhidmatan pelanggan, enam kaunter bergerak, serta 11 reruai pameran, melibatkan pendekatan bersama rakyat yang lebih efisien.

Antara agensi yang turut serta termasuk Maju Perak, Polis Diraja Malaysia melalui Skuad Amanita, Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU). – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak gesa Kerajaan Persekutuan segerakan projek pemindahan air

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI