IPOH – Perak tidak melarang mana-mana masjid dan surau di negeri ini menggunakan khidmat imam luar negara bagi solat sunat tarawih sepanjang Ramadan, namun ia perlu melalui permohonan badan berkuasa agama negeri.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, bagaimanapun masjid dan surau digalakkan untuk lebih mengutamakan khidmat imam tempatan.
“Kalau ada yang hendak menggunakan khidmat imam luar negara, mereka perlu memohon tauliah sementara daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk dipersembahkan dan diperkenankan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
“Walau bagaimanapun, kita menggalakkan guna khidmat imam warga tempatan. Kita ada ramai pelajar tahfiz yang boleh menjadi imam, tetapi apabila Ramadan, masjid guna khidmat imam luar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pengumuman Kadar Fitrah Tahun 1446 Hijrah / 2025 dan Peluncuran Awal Aplikasi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Bestari di Kompleks Islam Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh.
Media melaporkan beberapa negeri membuat ketetapan masing-masing berhubung penggunaan imam import untuk solat sunat tarawih di masjid dan surau.
Terengganu pada Ahad melarang penggunaan imam import, Selangor mengekalkan keutamaan kepada imam tempatan, sementara Johor membenarkan khidmat imam luar negara namun ia perlu membuat permohonan.
Pada masa sama, Mohd Annuar berkata, Perak meneruskan amalan pelaksanan 20 rakaat solat sunat tarawih di semua masjid utama.
Kata beliau, namun masjid dan surau lain di negeri ini diberi kebebasan untuk melaksankan bilangan rakaat solat sunat itu mengikut pertimbangan jawatankuasa masing-masing.
Dalam perkembangan lain, Saarani mengingatkan agar aktiviti seperti tazkiran di masjid dan surau sepanjang Ramadan ini bebas daripada sebarang unsur politik kepartian.
“Jangan salah faham mendakwa kita melarang aktiviti keagamaan di masjid dan surau, sebaliknya yang kita larang adalah aktiviti yang dikaitkan dengan politik.
“Ramadan adalah bulan yang yang sepatutnya kita menambah pahala melalui aktiviti pengimarahan yang sebenar,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: