Perak tidak tetapkan dasar waktu daftar masuk, keluar hotel

LENGGONG – Kerajaan Negeri Perak tidak akan menetapkan sebarang dasar berkaitan tempoh menginap atau mendaftar masuk dan keluar di hotel seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebaliknya hal berkenaan ditentukan sendiri oleh pemilik atau pengurusan premis hotel masing-masing.

Katanya, situasi itu juga akan membuatkan pengguna atau pelancong dalam dan luar negara mempunyai banyak pilihan terhadap hotel yang bersesuaian dengan citarasa tempoh menginap yang diinginkan.

“Mungkin ada pelancong yang masih suka daftar masuk jam dua petang dan daftar keluar jam 12 tengah hari esoknya.

“Cuma (dalam hal ini) bagi pengusaha hotel mereka mahu lebih masa untuk menguruskan bilik sebelum ada pelanggan baru datang menginap.

“Namun ia juga memberi lebih banyak pilihan kepada pelancong. Jika mereka tidak suka kepada tempoh penginapan sesebuah hotel, mereka boleh beralih ke hotel yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Sesi Libat Urus Bersama Pengendali Industri Pelancongan Daerah Lenggong, di Resort Tasik Raban dekat sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee serta, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menggesa pengusaha hotel menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.

Beliau berkata, ia adalah perkara biasa di luar negara dan tidak menjejaskan soal kebersihan atau kualiti penginapan, malah pengguna juga berasakan wang dibelanjakan berbaloi dengan perkhidmatan diterima.

Namun jelas beliau, aktiviti daftar masuk dan daftar keluar premis penginapan termasuk hotel berada di bawah seliaan kerajaan negeri sebagaimana termaktub dalam Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

Isu berkaitan waktu penginapan hotel timbul selepas pengguna mempersoalkan tindakan sesetengah hotel menetapkan waktu daftar masuk ke premis bermula jam 4 petang, manakala daftar keluar adalah pada jam 11 pagi keesokannya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Waktu penginapan di hotel sekurangnya 23 jam sehari – MOTAC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI